CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1492|Reply: 0

Ahmad Idham bakal bersara?

[Copy link]
Post time 2-12-2013 04:15 PM | Show all posts |Read mode


Berilmu, berpandangan jauh dan mudah untuk didekati! Itulah pelakon, pengarah dan penerbit, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Pemilik syarikat produksi Excellent Pictures Sdn Bhd ini bukanlah nama picisan dalam industri, malah kredibiliti yang ada padanya bukan sekadar dalam bidang pengarahan, lakonan dan penerbitan sahaja.

Hampir-hampir menjawat jawatan Ketua Pengarah di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), ia membuktikan pengarah filem Mael Lambung ini bukanlah calang-calang orang.

Sebelum ini, Ahmad Idham pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Finas, di mana beliau merupakan satu-satunya golongan penggiat seni yang diberi tempat di situ.

Walaupun sebelum ini dia dilihat ‘sama naik’ dengan bekas Presiden Seniman, Zed Zaidi, dalam menyuarakan pandangan mengenai industri, namun itu bukan bermakna tiada perkembangan terbaru dalam bidang penerbitan.

Bakal tampil dengan buah tangan terbaru, Ahmad Idham muncul untuk berkongsi dengan Zass mengenai perkembangan terbarunya serta beberapa perkara melibatkan industri.

Boleh ceritakan sedikit mengenai perkembangan terbaru anda?

Alhamdulillah, filem terbaru saya, Cinderella, bakal menemui penonton pada 19 Disember ini di pawagam. Buat masa ini, saya memang fokus kepada filem ini sahaja untuk memastikan kelancaran dan turut terlibat dalam kerja-kerja promosi. Saya memberi 100 peratus komitmen pada filem ini agar tiada masalah sampingan yang timbul sehingga mencacatkan perjalanan karya terbaru ini.

Adakah filem ini kesinambungan pada drama bersiri popular pada 90-an, Cinderella?

Ia bukanlah kesinambungan drama Cinderella, namun ia adalah ‘remake’ (penghasilan semula) Cinderella yang dahulu. Mungkin ia nampak sama, tetapi tidak serupa. Namun, jiwa, perasaan dan romantiknya, tetap sama.
Apabila saya garap, saya tahu apa yang saya nak penonton rasa ketika menonton filem ini. Ini hanya untuk mengangkat nostalgia 15 tahun dulu. Dalam filem ini, saya kekalkan metafora dalam drama Cinderella sahaja. Saya mengekalkan kewujudan Cinderella Melayu, iaitu dari seorang anak tiri di sebuah kampung ditangkap basah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali dan dibawa ke bandar. Selain itu, saya turut mengekalkan lagu tema, Sehati Sejiwa, yang diberi nafas baru. Saya turut mendapatkan khidmat pelakon terkenal, Fizo Omar da Nelydia Senrose sebagai tonggak utama, Nurul dan Salman. Selain itu, filem ini turut dibintangi barisan pelakon hebat, termasuk Kamal Adli, Erin Malek, Fauziah Nawi, Datuk Jalaludin Hassan, Azizah Mahzan, Sahrolnizam dan Azlan Komeng.

Selain Cinderella, apa lagi karya terbaru anda?

Mengikut pada perancangan asal, saya berhasrat untuk menghasilkan dua tiga filem lagi. Sebenarnya, dah dua bulan saya berhenti daripada kerja-kerja pengarahan. Saya juga pernah terlintas nak tarik ‘hand break’ kerana kecewa dengan sikap penonton di luar sana yang tidak menghargai penat lelah kami.

Sejujurnya, saya bukan kecewa kerana kurang sambutan, namun saya terkilan dengan sikap masyarakat yang tidak serik-serik untuk menjahanamkan karya bangsa sendiri. Lanun cetak rompak juga semakin berleluasa dan paling menggerunkan kecanggihan teknologi ini memberi ruang yang cukup luas untuk mereka bermaharajalela di laman Internet. Mereka tanpa segan silu merompak karya orang lain dengan memuat turun filem di internet.

Fenomena ini semakin berleluasa dan ia memberi impak buruk kepada industri. Sekiranya, satu hari nanti saya tarik diri dan berundur, ia bukanlah satu kejutan, malah perkara inilah yang menghantui sebilangan besar penerbit seperti saya.

Sekiranya anda berundur, adakah anda akan terus bersara dalam industri dan menceburi bidang lain?

Rasa cinta saya dalam industri sangat kuat kerana penglibatan saya dalam industri bukanlah setahun dua. Saya tidak akan tinggalkan industri secara sepenuhnya, malah saya berhasrat untuk menubuhkan kolej sendiri yang memberi pembelajaran kepada pelajar yang berminat dalam industri seni.

Sejak kebelakangan ini, anda tidak lagi lantang bersuara seperti dahulu, mengapa?

Sebenarnya, saya dah letih nak layan semua perkara yang membabitkan industri kerana teguran kita akan dimanipulasikan. Bila bersuara, dikatakan lantang tanpa sebab. Suara dan ketegasan saya adalah untuk memperjuangkan industri yang semakin nazak. Namun, apa yang saya dapat ialah ‘backfire’! Tidak kurang juga yang tampil memanipulasikan fakta.

Sebelum ini, saya ada mempertikaikan pengurusan Finas, namun ada di kalangan industri yang menghentam saya balik. Tapi, bila dah kena batang hidung sendiri, baru nak tengadah. Saya dah penat nak bertelagah dengan mereka-mereka yang tidak memiliki intelektualiti. Saya bukan cakap kosong kerana saya juga membuat kajian mengenai industri dalam pengajian saya. Sejujurnya, perkara ini menjadi keruh apabila tidak ramai graduan dalam generasi lama. Jadi, lebih baik saya diam daripada kenyataan saya dihuraikan dalam sudut intelektual yang tidak sampai pada tahapnya.

Adakah anda merasakan, masalah industri seni tidak pernah selesai?

Perkara ini telah saya tekankan sejak dua tahun lalu, di mana saya pernah duduk di kerusi Ahli Lembaga Finas. Jadi, saya sangat arif dengan masalah industri setelah mengkaji satu persatu. Walaupun ada di kalangan penerbit yang mengetahui masalah dan kelemahan ini, namun mereka tidak tampil bersuara. Malah, ada juga di kalangan penerbit yang selesa ‘menangguk di air keruh’ dan terus menerus mahukan berada di dalam industri dan pentadbiran yang lemah. Bagi saya, ramai di kalangan penggiat seni yang bermuka-muka, ‘lalang’ dan hanya mementingkan periuk nasi sendiri.

Melihat kepada isu Seniman baru-baru ini, adakah ia menunjukkan sikap penggiat seni yang tidak sepakat?

Ini adalah masalah pertembungan ideologi lama dan baru di mana yang lama tidak mahu melepaskan jawatan dan yang baru pula tidak pernah diberi peluang. Malah, segelintir veteran Seniman ini masih mengamalkan konsep ‘sapa makan garam dulu’. Perkara ini sama sekali tidak menyumbang kepada peningkatan dalam industri, malah isu ini akan menjadi lebih besar apabila ramai yang mula memberontak. Perlu diingatkan, undang-undang adalah ciptaan manusia yang boleh dimanipulasikan. Kenapa harus gunakan jalan ini sedangkan bekas Presiden, Zed Zaidi melaksanakan tugasnya dengan baik sekali.

Apa yang saya nampak, ia lebih kepada ego di mana segelintir veteran Seniman tidak boleh menerima hakikat di mana masa mereka sudah tamat. Malah, sepanjang pimpinan mereka dahulu, tiada pembaharuan yang di buat untuk dibanggakan. Akibatnya, generasi muda menjadi mangsa. Adakah veteran Seniman itu hanya ingin mengekalkan taraf hidup veteran di masa tua seperti veteran terdahulu yang terpaksa memohon bantuan, berdepan kesempitan hidup dan tidak mempunyai kediaman sendiri? Ambillah pengalaman itu sebagai iktibar dengan ‘menyediakan payung sebelum hujan’. Jangan biarkan generasi muda basah kuyup.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 03:18 PM GMT+8 , Processed in 0.107853 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list