KUALA TERENGGANU - Perbuatan tidak ‘bertamadun’ seorang pemuda yang menceroboh masuk kediaman seorang warga emas dalam keadaan berbogel, dipercayai untuk melakukan jenayah akhirnya menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Mohd Alias Mokhtar, 29, dari Kampung Banggol Durian, Serada, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melanggar kesopanan.
Dia mengaku bersalah menceroboh masuk rumah Meriam Mohamad, 72, di Kampung Banggol Durian, Serada, di sini, kira-kira jam 2.15 pagi, 18 Oktober 2012, tanpa kebenarannya dengan niat melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang. Pada masa sama, Mohd Alias turut mengaku bersalah dengan sengaja melakukan perbuatan kelucahan melampau iaitu berada dalam keadaan tidak berpakaian di hadapan Norma Hitam, 37, ketika berjaya menceroboh kediaman tersebut.
Bagi setiap kesalahan, Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman penjara enam bulan, namun dia memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak.
|