CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2971|Reply: 0

Umie, Faizal terus bersaing

[Copy link]
Post time 7-11-2013 11:51 AM | Show all posts |Read mode

Faizal Hussein.


Biarpun berhadapan dengan lambakan muka baru yang kian membanjiri industri seni tanah air namun segelintir 'orang lama' masih lagi bertahan.

Antara nama besar industri yang mampu bertahan sehingga hari ini, Datin Umie Aida dan Faizal Hussein.

Menyingkap sejarah mereka dalam bidang seni, Umie mahupun Faizal terpaksa berjuang demi mempertahankan industri seni yang kian malap.

Suatu ketika dulu, mereka antara orang lama yang menaikkan dunia perfileman dan kini setelah sekian lama bergelumang sepak terajang industri mereka bangkit semula untuk menghidupkan kembali dunia seni.


Bukan bersandar rupa- Umie

Menyingkap kembali sejarah pembabitan Umie dalam industri, dia mula melangkah dalam industri model komersial di bawah kelolaan model terkenal Azah Aziz ketika berusia 15 tahun pada 1989.

Pada 1990, dia menyertai Dewi Remaja dan berjaya mara ke final bersama rakan seangkatannya Jasmin Hamid, Kuza dan model Irene Santiago.

Bertitik tolak dari situ, nama Umie mula popular dalam kalangan penerbit dan menerima tawaran untuk berlakon drama TV pertama iaitu Maafkan Mama. Kemudian Umie muncul dalam filem debutnya, Memori arahan Datuk Rosnani Jamil.





"Saya bermula dengan kosong dalam industri ini  dan tidak mahu dikenali sebagai pelakon yang bersandarkan rupa semata-mata. Sebaliknya banyak bergantung kepada usaha sendiri untuk maju ke depan.

"Selain berlakon drama atau filem, saya juga terlibat dengan pementasan teater bagi memantapkan kemahiran lakonan," ujar Umie yang aktif teater pada penghujung 90-an.

Antara teater yang mengangkat namanya adalah Lantai T. Pinkie, Mencari Salina, Pelayaran Nur Atma dan Dejavu Seorang Perempuan.

Berpeluang berlakon di sisi nama besar perfileman seperti Jins Shamsuddin, Fauziah Ahmad Daud dan Normah Damanhuri, Umie berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk menuntut ilmu dengan nama-nama hebat itu.

"Saya banyak menuntut dengan pelakon handalan supaya lakonan nampak lebih natural dan tidak kaku.

"Tidak cukup itu, pembelajaran melalui filem, CD, buku dan pengalaman sendiri juga membantu kita untuk memajukan diri," katanya.

Tambah Umie, ironinya seseorang pelakon harus melalui kehidupan berliku-liku dan penuh cabaran sebelum menjadi pelakon semula jadi.

Ujarnya, jika tidak, pelakon bukan sahaja tidak dapat menghayati emosi watak dengan baik bahkan kaku di hadapan kamera.


Cabaran 'Aku Bukan Malaikat'

Dalam pada itu, Umie mengatakan berhadapan dengan cabaran sepanjang berlakon dalam drama Aku Bukan Malaikat.

"Saya terpaksa berlakon dengan mereka yang tidak pernah berlakon dan tiada pengalaman langsung dalam lakonan.

"Ia merupakan cabaran terbesar saya kerana mereka bukan pelakon sebenar dan kurang pengetahuan dalam bidang ini," katanya yang tercalon Pelakon Wanita Terbaik Drama dalam Anugerah Skrin (ASK) 2013.

Tambahnya, pelakon tambahan tersebut merupakan pelajar yang tiada asas lakonan dan diambil untuk mengisi watak sampingan dalam drama itu.

"Mereka tidak tahu apa-apa mengenai 'cut atau repeat',  sedangkan ia asas dalam lakonan.

"Ini menyebabkan saya terpaksa bekerja dua kali ganda dan mengajar mereka mengenai cara berlakon.

"Alhamdullilah... semua berjalan lancar selepas masing-masing diberi tunjuk ajar biarpun agak lambat," katanya.





Tuah sisi antagonis - Faizal

Sementara itu, Faizal, anak kepada seniman Allahyarham Hussein Abu Hassan nampaknya tidak sia-sia mengikut jejak bapanya terjun dalam bidang lakonan.

Pengarah, pelakon, dan juga penulis skrip itu mula menyerlah melalui filem arahan bapanya, Gila-Gila Remaja (GGR) dengan memegang watak sebagai Roy.

Sedikit mengenai sejarah pembabitannya, Faizal memulakan langkah di pentas lakonan sejak menerusi filem Senja Merah (1982).

Namun, namanya melonjak naik selepas membintangi filem GGR (1986) dan ia memberi impak besar untuk Faizal membuktikan darah seni diwarisi.

Selepas itu, beliau sering menjadi buruan produser dan membintangi beberapa filem yang menampilkannya sebagai watak jahat atau antagonis.

Tetapi, selepas filem lakonannya Sate (1997) kurang mendapat sambutan Faizal berehat sementara dari dunia lakonan dan muncul kembali dalam Leftenan Adnan (2000) dengan membawa watak jahat.

Ternyata percubaannya berhasil, yang mana ia telah membuka ruang untuknya dan ditawarkan pelbagai watak hitam dalam filem, mahupun drama.

Filem Gerak Khas The Movie 3 (2005) merupakan filem terakhir Faizal selepas dia dikatakan merajuk dengan industri tempatan dan membawa diri ke luar negara selama empat tahun.

Faizal turut membintangi beberapa filem lain seperti Jalang (2009), 2 Alam (2010), Abuya, Datin Ghairah (2011), Azura dan Bunohan (2012).

Namun filem Bunohan berjaya menaikkan namanya semula hingga dia berjaya meraih lapan anugerah di Festival Filem Malaysia 25, tahun lalu.

Menurut Faizal, walaupun banyak melakonkan watak jahat namun dia tetap gembira dengan penerimaan peminat setia terhadap kerjayanya.

"Saya memang tidak sangka ramai peminat menyukai saya membawa watak antagonis berbanding watak baik.

"Secara jujurnya, saya bukan jenis yang cerewet memilih watak kerana setiap tawaran yang diberikan adalah rezeki dari Ilahi," kata suami kepada pelakon Suhaila Sulaiman dan bapa kepada dua orang anak ini.

Anak jati Kuala Lumpur itu berkata, dia melihat dari sudut berbeza bagi setiap tawaran yang diterima dan tidak menolak apa jua watak yang akan dilakonkan.

"Setiap watak yang pernah saya jayakan mempunyai pengajaran tersendiri dan menjadi tanggungjawab saya untuk menyampaikan kepada peminat sebaik mungkin," ujar Faizal.


Pelakon Lelaki Terbaik Drama?

Tercalon dalam ASK 2013 bagi drama Fatihah Untuk Abah merupakan satu momen berharga baginya. Biarpun beberapa kali tercalon dalam ASK namun dia tetap bersyukur walaupun tidak memenangi anugerah tersebut.

"Bagi saya, keputusan juri adalah muktamad dan mereka lebih berpengalaman untuk menilai kemampuan kita.

"Menang atau kalah, saya terima dengan lapang dada," katanya yang tercalon bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama.

Tambahnya, bekerja di bawah arahan pengarah berkaliber seperti Azma Aizal Yusoof yang memahami,  membuatnya selesa untuk berlakon.

"Saya 'enjoy' dan seronok berlakon dengan pelakon berbakat besar seperti Sharifah Amani, Shafie Naswip, Azhan Rani dan Amyza Adnan.

"Bila kita tiada masalah dengan perjalanan kerja maka hasilnya lebih baik dan berkualiti. Kami juga serasi bekerjasama antara satu sama lain," katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama Jiwa arahan Kabir Bahtiar sebanyak 15 episod.





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 10:29 PM GMT+8 , Processed in 0.063144 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list