SEREMBAN 17 Okt. - Polis menahan tiga penjenayah yang mencuri kereta mewah di beberapa buah negeri dengan menggunakan kayu panjang khas untuk mengait kunci rumah dan kereta mangsa sebelum melarikan kenderaan tersebut, baru-baru ini. Ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita itu ditahan dalam serbuan di Port Dickson serta Bahau dekat sini pada 9 dan 12 Oktober lalu. Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Manan Md. Hasan berkata, polis merampas 12 buah kenderaan curi dan beberapa barangan yang dipercayai hasil pecah rumah yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta. Menurutnya, suspek pertama yang berusia 48 tahun ditahan di Port Dickson pada 9 Oktober lalu dan hasil soal siasat pihaknya menemukan tiga buah kereta jenis Mercedes-Benz, Toyota Estima dan BMW yang disorokkan di beberapa lokasi. "Susulan tangkapan itu polis menahan sepasang kekasih berusia 32 dan 23 tahun di sebuah hotel di Bahau pada 12 Oktober lalu dan merampas dua buah Mercedes-Benz serta masing-masing sebuah Toyota Camry, Volkswagen Golf GTI, Mitsubishi Triton dan Kia Optima. "Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan mewah di negeri ini, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor dengan penangkapan ketiga-tiga suspek," katanya dalam sidang akhbar hari ini. - UTUSANG ONGLINE
|