SEBAIK sahaja melihat cara permainan Nomad, beberapa rakan media yang menunggu giliran untuk bermain, terus mengangkat bendera putih tanda tidak sanggup untuk berbalas pukulan bulu tangkis dengannya.
Itu baharu melihat Nomad membuat sesi memanaskan badan bersama empat orang adiknya, belum lagi melihat penyanyi yang popular dengan lagu Tetap Menantimu itu bermain. Untuk mengelak malu, rakan-rakan media lebih senang bermain badminton sesama sendiri.
Jangan tak tahu, Nomad atau nama sebenarnya Nur Mohd. Alieff Ayub, 25, sebelum berkecimpung dalam bidang seni adalah seorang pemain badminton yang sering mewakili sekolah dalam pertandingan.
“Saya mula pegang raket waktu usia enam tahun sebab ikut abah yang sering menjalani latihan badminton dengan pasukan polis Terengganu. Saya mula menyertai pertandingan ketika usia sembilan tahun.
“Pernahlah jadi wakil sekolah sampai peringkat Majlis Sukan Sekolah Terengganu. Saya tidak ada jurulatih khas, selain abah (Ayub Salim, 53).
“Saya serius dalam sukan badminton sehingga usia 18 tahun sebelum mengambil keputusan untuk beralih arah, ketika saya belajar di Kolej Islam Antarabangsa, Gombak," ceritanya sewaktu ditemui di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercerita lanjut tentang badminton, Nomad yang pernah mengikuti klinik badminton yang dibimbing oleh Datuk Misbun Sidek berkata, dia dan adik- beradiknya tidak dapat dipisahkan daripada sukan badminton.
“Adik-adik saya semuanya aktif badminton, wakil sekolah dan negara. Saya sendiri kalau masih serius, mungkin juga akan jadi seperti mereka.
“Sekarang ini walaupun tidak menjadikan badminton keutamaan tetapi sukan itu tidak dapat dipisahkan daripada saya.
“Setiap malam Isnin, Rabu dan Jumaat, kami adik-beradik dan rakan-rakan akan bermain badminton di Petaling Jaya. Begitu juga kalau ada pertandingan, saya akan pastikan berpeluang untuk menyertainya," katanya.
Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, adiknya, Nur Mohd. Azriyn, 20, adalah pemain badminton kebangsaan, sementara Nur Mohd. Haqiem, 22, Nur Mohd. Haikal, 15,dan Nur Mohd. Harris, 7, masing-masing mewakili syarikat dan sekolah, termasuklah seorang lagi adiknya, Nur Mohd. Aqasyah, 11. Nomad berkata, di satu sudut rumahnya penuh dengan medal kemenangan mereka adik-beradik.
“Mama (Noor Hashikin Hassan, 46), menyediakan satu sudut untuk meletakkan medal kemenangan kami di rumah. Tiap kali melihat medal-medal itu, kami akan menyindir antara satu sama lain, sebab masing-masing akan berlagak dengan kemenangan yang diraih.
“Antara saya dengan adik-adik tidak ada batasan, sebab itulah mereka tak takut dengan saya, melainkan Harris. Hubungan kami seperti kawan dan sebab itulah kalau semua ada di rumah, mama pening kepala. Bising tak payah nak cakaplah, sebab kami semua suka usik Harris bagi dia menangis," ceritanya.
Kata penyanyi kelahiran Besut, Terengganu itu, hidupnya sejak dulu hanyalah belajar dan bermain badminton, kini ditambah pula bidang seni.
“Saya mula minat seni sejak di kolej dan sering menyertai pelbagai pertandingan program realiti. Namun, saya tidak berjaya di peringkat awal, selain rancangan Keynote, saya dapat menjadi peserta.
“Sewaktu saya beritahu abah yang saya nak ceburi seni, abah tak mengizinkan, sebab dia tak nampak bidang seni mempunyai masa depan. Malah kegagalan saya mendapat tempat dalam uji bakat program realiti juga pernah membuatkan saya berundur. Namun, alhamdulillah sekarang ini pilihan saya mendapat restu keluarga," ujarnya.
Biarpun namanya semakin melonjak dalam bidang seni suara, namun kata Nomad, sukan badminton tetap tidak dapat dipisahkan daripadanya.
Last edited by tapibukanaku on 13-10-2013 05:54 PM