Dek kerana kasihan, penerbit baru ini sudi mempelawa pelakon baru berlakon drama terbitan syarikatnya. Biarpun macam-macam cerita kurang enak mengenai pelakon itu, dia sengaja pekakkan telinga. Baginya, selagi tidak nampak depan mata, kena bersangka baik. Lagipun, tak semua yang disampaikan itu betul kerana biasanya orang suka menokok-nambah untuk menyedapkan cerita.
Dia tetap berkeras mahu pelakon itu bawa watak utama biarpun stesen televisyen kurang berkenan berikutan sering menimbulkan masalah di lokasi penggambaran. Ketika hari penggambaran, semua kru mengeluh sebaik saja nampak pelakon ini.
Seboleh mungkin, mereka memang mahu elak bekerjasama dengan pelakon yang terkenal dengan sikap cerewet tak bertempat itu.
Namun apa boleh buat, kalau penerbit sudah suka, terpaksalah mereka akur. Lagipun yang keluar duit penerbit, suka atau tidak, mereka kenalah ikut.
Dalam hati masing-masing sudah menjangka pasti berlaku ‘drama hebat’ di lokasi dan ternyata ia benar-benar terjadi. Habis porak peranda penggambaran berikutan sikap mengada-ngada dan besar kepala pelakon itu.
Macam-macam hal berlaku, tetapi penggambaran drama itu berjaya juga disiapkan. Insiden itu menjadi pengajaran besar kepada penerbit ini.
Sudahlah terpaksa tanggung kerugian, sesak nafasnya apabila stesen televisyen beri amaran tidak akan tayang drama itu jika pelakon itu buat perangai.
Sejak itu dia serik untuk menyunting pelakon bermasalah itu bekerja dengan produksinya. Muka saja cantik, tetapi perangai menyakitkan hati.
|