Polis buru Alias Minan
]Balik Pulau: Seorang lelaki warga Indonesia diburu polis apabila dipercayai menjadi suspek utama kes pembunuhan seorang lelaki warga emas yang maut dipukul dengan kayu di kepala, manakala isterinya cedera dalam kejadian samun di rumah mereka di Jalan Tun Sardon, di sini, kelmarin. Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, berdasarkan siasatan, suspek dikenali sebagai Alias Minan, 30-an dan dikatakan pernah ditahan di Penjara Pulau Pinang.
Beliau berkata, suspek dikenal pasti selepas keputusan cap jari yang ditemui di tempat kejadian dikeluarkan Bukit Aman.
Katanya, polis turut menahan 16 lelaki warga asing iaitu 12 lelaki warga Myanmar dan masing-masing dua lelaki warga Bangladesh serta Indonesia berusia antara 20 hingga 30-an bagi membantu siasatan.
“Mereka ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa, Chin Len Wong, 83, ditemui anak lelakinya, Chin Fooi Min, 49, dalam keadaan berlumuran darah dan masih bernafas sebelum menghembuskan nafas terakhir beberapa minit kemudian.
Isteri mangsa, Chang Yook Kee, 71, masih mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat patah tangan disebabkan dipukul suspek yang menyamun mereka.
Mohd Hatta berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati, mangsa meninggal dunia akibat hentakan benda tumpul dan keras.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan pihaknya belum dapat menemui Chang yang kini menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), HPP.
Katanya, polis sudah merakam percakapan keluarga mangsa dan mengenal pasti barangan mangsa yang hilang termasuk nilai kerugian.
|