Sekali pandang, pasangan romantik ini nampak sangat bahagia. Serba-serbi indah umpama merekalah pasangan paling secocok. Di sebalik kebahagiaan itu, terselit pahit yang tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata. Begitulah mukadimah perkembangan terbaru pasangan selebriti popular yang sampai ke pengetahuan Sha beberapa hari lalu.
Dengarnya, rumah tangga mereka bergolak tetapi punca sebenar belum diketahui. Sumber Sha masih menyelidik perkara itu dan akan maklumkan maklumat dari semasa ke semasa.
Sha difahamkan, berikutan masalah dalam hubungan mereka, si isteri membatalkan aktiviti seni sepanjang minggu.
Lebih mengejutkan, pembatalan itu dilakukan pada saat akhir hingga ramai tertanya-tanya apa berlaku kepadanya. Sebelum ini tak pula dia bersikap demikian.
Bagi Sha, dalam perkahwinan ada turun naiknya. Bukan satu perkara luar biasa jika suami isteri bergaduh dan bertelagah pendapat.
Kalau tidak, masakan wujud pepatah ‘sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Apatah lagi perkahwinan mereka boleh dikatakan masih baru, pasti dalam proses menyesuaikan diri.
Sha terdengar yang selebriti cantik itu sebenarnya sakit. Apa jenis penyakit, tak pula diberitahu. Misteri sungguh hidup pasangan ini sampai tak boleh nak diramal apa masalah sebenar mereka hadapi. Adakah itu punca hubungan tegang?
Pun begitu, kalau diselongkar sejarah hitam mereka, kedua-duanya suka ambil barang terlarang. Tidak mustahil penyakit dan masalah itu ada kena mengena dengan aktiviti kurang sihat itu. Biasalah jika ‘terikat’ dengan barang terlarang itu, banyak masalah akan timbul di kemudian hari.
Sha harap pasangan ini dapat mengharungi ujian dan cari penyelesaian terbaik. Kalau betul sakit, segera dapatkan rawatan dan jika tidak tahu cara menyelesaikan pergolakan rumah tangga, bertemulah mereka yang pakar atau dapatkan bantuan ahli keluarga sebagai orang tengah.
Doa Sha, mudah-mudahan kedua-duanya tabah serta sama-sama muhasabah diri dan berubah ke arah kebaikan.
|