KUALA LUMPUR 11 Sept. - Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro) mencatatkan hasil dua digit untuk enam bulan pertama dalam tahun kewangan berakhir 31 Januari 2014 dengan peningkatan sebanyak 13 peratus kepada RM2.3 bilion, berbanding RM2.1 bilion yang direkodkan tempoh yang sama sebelum ini. Pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan langganan produk dan perkhidmatan berbayar, pelanggan Astro NJOI, hasil purata setiap pelanggan (ARPU) serta perbelanjaan pengiklanan (Adex) televisyen dan radio. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rohana Rozhan berkata, Astro terus melaksanakan strategi pertumbuhan dan mengekalkan kadar aliran tunai. Katanya, Ahli Lembaga Pengarah telah mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 2 sen sesyer, peningkatan 33 peratus berbanding 1.5 sen tahun sebelumnya. "Suku kedua menunjukkan peningkatan jumlah langganan televisyen berbayar sebanyak 43,000 ke 3.36 juta dan pelanggan NJOI berkembang sebanyak 50,000 kepada 314,000 yang menjadikan pelanggan keseluruhan Astro 3.67 juta, bersamaan 54 peratus jumlah isi rumah di Malaysia. "Jumlah pelanggan Astro B.yond juga bertambah sebanyak 290 ribu kepada 2.47 juta mewakili 74 peratus pelanggan televisyen berbayar secara keseluruhan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Menurutnya, ARPU telah meningkat sebanyak tiga peratus kepada RM94.9 dengan pertambahan jumlah pelanggan yang mendapatkan produk dan perkhidmatan Astro. Tambahnya lagi, Adex Astro telah meningkat sebanyak 15 peratus kepada RM270 juta dengan TV Adex berkembang kepada 30 peratus dan iklan ke atas radio (Radex) pada 55 peratus. "Kami amat berbesar hati untuk terus menjadi penyiar utama acara sukan. Pada tahun depan, kami akan membawakan kesemua perlawanan Liga Perdana Barclays musin 2013/2014, Piala Dunia FIFA 2014, Sukan Asian 2014 dan Sukan Komanwel 2014," katanya.
|