|
Mawi dan Ekin ulang alik Kulai-JB.
SETIAP tahun, pertelingkahan untuk menentukan lokasi berhari raya sudah menjadi perkara biasa bagi pasangan suami isteri.
Mana tidaknya, jika suami di Kelantan dan isteri pula di Pulau Pinang, tentunya menjadi kesulitan untuk meraikan 1 Syawal bersama.
Tambahan pula, sekiranya suami tidak mengamalkan toleransi, sudah pasti si isteri berendam air mata untuk menyambut Syawal bersama keluarganya.
Namun, bagi pasangan selebriti popular, Mawi dan Ekin, perkara sebegini tidak akan terjadi dalam kehidupan mereka kerana berasal dari negeri yang sama.
Menurut Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 32, tidak perlu bertegang urat untuk pulang ke kampung halaman kerana mereka dapat meraikan 1 Syawal di dua lokasi.
"Alhamdulillah, syukur kerana kami berdua berasal dari Johor. Untuk tahun ini, giliran kami beraya di kampung halaman Ekin, Johor Bahru (JB).
"Namun, selepas itu, kami terus ke Kulai untuk beraya dengan keluarga saya. Lagipun, perjalanan dari JB ke Kulai tak sampai dua jam pun.
"Jadi, tidak pernah ada masalah bila pulang ke kampung kerana kami akan ulang alik dalam masa seminggu bercuti raya itu," kata anak jati Felda Taib Andak ini.
Sertai marhaban
Sambutan Aidilfitri di setiap tempat dan daerah pastinya berbeza, malah ada di kalangan kelompok masyarakat Melayu yang masih mengamalkan budaya marhaban.
Perkara ini turut diakui Mawi apabila kawasan tempat tinggalnya masih mengamalkan konsep marhaban.
Tidak pernah ketinggalan dalam menyertai kumpulan itu, menurut Mawi, dia mula menyertai marhaban sejak kecil lagi.
"Saya memang tak pernah ketinggalan untuk menyertainya. Selepas beraya di JB, saya akan segera balik ke Kulai agar tidak terlepas.
"Mungkin di tempat lain, sambutan ini sudah ditinggalkan, namun kami tetap mengamalkannya.
"Selepas sembahyang raya, kami sekumpulan akan mengunjungi setiap rumah yang ada di sepanjang blok rumah sehinggalah sampai waktu Zuhur.
"Pada petang pula, golongan wanita pula yang akan melakukannya. Begitulah suasana raya kami setiap tahun," kata Juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) ini.
Tambah isterinya, Norashikin Rahmat atau Ekin, sebelum ini, dia tidak pernah menyaksikan kumpulan marhaban seperti itu.
"Ia pengalaman baru buat saya kerana sebelum ini saya tidak pernah menyaksikan marhaban. Lagipun, suasana raya di Kulai sangat meriah," katanya yang kini sibuk dengan syarikat kecantikan dan kesihatan, Uniquien.
Malaika penyeri Aidilfitri
Tahun ini merupakan tahun kedua sambutan Aidilfitri bertiga dengan kehadiran puteri kesayangan, Cahaya Malaika, 18 bulan.
Walaupun tahun kedua, ia sama seperti tahun pertama malah, Aidilfitri tahun ini lebih bermakna apabila Cahaya kini semakin membesar dan petah berbicara.
"Pada hari raya tahun lalu, Cahaya masih kecil dan suasana tidak semeriah tahun ini.
"Dia adalah penyeri Aidilfitri kami pada tahun ini. Bukan sahaja dengan suara keluarga dan sanak saudara, malah suara Cahaya juga menghiasi suasana," katanya yang turut mengakui minatnya dalam mengumpul kasut kanak-kanak untuk Cahaya.
Bertanya mengenai pengalaman beraya di keluarga mertua, ia bukanlah perkara ganjil buat Mawi kerana ada di antara hidangan yang dirindui sekian lama.
Menurut Mawi, sebelum berkahwin dengan Ekin, dia tidak pernah menyentuh dan merasai hidangan Laksa Johor.
"Walaupun saya orang Johor, tapi saya tak makan Laksa Johor. Saya sendiri tidak pandai nak makan laksa itu kerana ia menggunakan spageti.
"Maklumlah, saya ni kan orang Felda, mana biasa dengan makanan seperti itu. Namun, setelah merasai hidangan yang dibuat ibu mertua, saya jadi gian nak makan.
"Setiap kali raya, ibu mertua saya akan buat Laksa Johor dan saya akan makan dengan cara saya sendiri. Saya akan gaul dengan kuah yang banyak dan makan menggunakan tangan. Fuhhh, memang sedap," katanya sambil ketawa.
Gian nak anyam ketupat
Mungkin ramai yang tidak tahu, selain memiliki suara yang lunak, Mawi juga mempunyai kemahiran membuat ketupat anyam.
Malah, setiap kali musim perayaan, perkara yang akan difikirkan terlebih dahulu ialah aktiviti anyam ketupat.
"Saya memang gian nak anyam ketupat. Jika saya sampai di rumah setelah ketupat siap dianyam, saya akan anyam juga untuk kepuasan diri.
"Selain dari ketupat bawang, saya juga mahir dalam membuat ketupat sate, katak dan pasar. Setiap satunya saya belajar daripada ibu, ayah dan kakak.
"Saya beruntung kerana saya belajar semua daripada mereka kerana mereka hanya pandai menganyam satu daripadanya sahaja," katanya.
Terkenang arwah bapa
Bertanya mengenai pengalaman raya dan puasa pasangan ini, Mawi turut mendedahkan kisah nakalnya sewaktu kecil di bulan puasa.
Katanya, ketika berusia sembilan tahun, ibu bapanya telah mendidik untuk berpuasa penuh dengan paksaan.
"Ketika itu, saya memang kena paksa puasa kerana saya tak rela bila melihat ramai di kalangan rakan-rakan masih tidak berpuasa dan ada juga yang separuh hari.
"Tapi, sebab takutkan mak dan ayah, saya kena puasa. Jadi, bila kena paksa tu, macam-macam perangai yang saya buat.
"Bila sampai waktu petang, saya mula membuat 'onar'. Saya akan guling-guling dan meraung kelaparan. Sepanjang bulan Ramadan, saya akan berperangai seperti itu.
"Tak tahan mendengar rengekan saya, mak terus memberi kebenaran untuk saya berbuka. Tapi, bila fikirkan balik, dua jam saja nak berbuka, saya tak makan.
Tunggu juga waktu berbuka sehingga cukup sebulan berpuasa," katanya yang turut merindui arwah bapanya, Ani Ahmad, yang meninggal dunia hampir tujuh tahun lalu.
Menurut Mawi, setiap kali Aidilfitri menjelma, rasa rindu itu semakin menebal sehingga membuatkannya sebak.
"Setiap kali raya, saya akan menemani arwah ayah ke masjid untuk sembahyang raya. Dia akan membawa motor dan saya memboncengnya.
"Namun, bila dia sudah tiada, saya pergi ke masjid seorang diri. Ketika dalam perjalanan di atas motor itu, air mata saya akan menitis mengenangkan ayah.
"Malah, saya turut membayangkan untuk membawa anak pula selepas ini untuk membonceng saya ke masjid di pagi raya," kata pelantun lagu Al Haq ini.
Padah main mercun
Jika Mawi dengan cara berguling-guling, Ekin pula memberitahu sewaktu usianya sembilan tahun, dia masih belum berjaya berpuasa penuh.
"Masa usia itu, saya masih lagi puasa 'yak yok'," katanya sambil ketawa.
Bertanya mengenai pengalaman raya yang sukar dilupakan, Ekin memberitahu, peristiwa itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
"Ketika itu, saya dan Aien, sedang main bunga api. Seperti pasangan kembar yang lain, kami juga gemar mengusik.
"Masa tengah seronok main, bunga api yang saya pegang terkena muka Aien. Dia terus menangis dan ibu terus membawanya ke klinik.
"Kecederaan di muka Aein agak teruk apabila kulit mukanya melecur dan berkudis.
"Saya memang rasa bersalah dengan Aien dan minta maaf. Tapi, Aien merajuk dan tak nak maafkan saya.
"Syukur Alhamdulillah, kesan melecur itu hilang bila meningkat remaja. Selepas insiden itu, kami dah fobia nak main bunga api," katanya.
|
|