|
KUALA PILAH – "Saya menyesal," kata Che Jum Che Harun, 13, pelajar tahfiz yang kehilangan tiga jari kanan akibat bermain mercun di Rumah Rakyat Senaling, Kampung Batang Pilah, dekat sini, malam kelmarin.
Mangsa, seorang pelajar di Pondok Madrasah Darus Islah Ulu Gemilang, Kampung Ulu Melang, hancur pada ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah apabila mercun jenis Di Boom yang dibeli pada hari raya tahun lalu meletup di tangan sebaik saja api dicucuhkan pada sumbunya.
"Jika saya tak bermain mercun, hari ini (semalam) saya akan beli pakaian raya bersama keluarga. Tapi kini, saya terpaksa beraya di hospital," katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini semalam.
Kejadian menimpa mangsa berlaku kira-kira 8 malam kelmarin di hadapan gelanggang sepak takraw tidak jauh dari rumahnya yang turut disaksikan adik dan rakan-rakan mangsa.
Ibu mangsa, Suriati Ismail, 33, berkata, ketika kejadian, anaknya baru pulang dari surau sebelum berjumpa rakan-rakan untuk bermain mercun di kawasan itu.
"Mercun itu dibeli tahun lalu dan masih ada tiga baki. Tahun lalu, dia main mercun sama ikut cara betul dengan meletakkan mercun atas tanah, kemudian cucuh sumbu guna kayu dari jarak agak jauh. Tetapi semalam (malam kelmarin), dia pegang mercun itu ketika dicucuh, tak sempat lontar apabila disuruh rakannya," katanya.
Menurutnya, dia menyedar kejadian itu selepas dimaklumkan seorang lagi anaknya, Farah, 9, yang turut serta bermain, lantas berlari untuk memberitahu kejadian itu.
“Saya terkejut dan terus bergegas keluar. Saya nampak tangan Che Jum berlumuran darah. Saya cepat-cepat balut tangan dengan serban putih dipakainya. Habis jubah putih yang dipakainya juga penuh darah," katanya.
Suraiti berkata, mereka kemudian bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Namun, katanya, doktor memaklumkan kuku ibu jari anaknya pecah, jari telunjuk hancur tinggal tulang, manakala jadi tengah melecur dan kesemua tidak dapat diselamatkan lagi.
"Saya diberitahu pembuluh darah jari juga sudah putus. Doktor masih melihat sama ada perlu dipotong atau tidak," katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, anaknya baru dua hari pulang dari belajar Pondok Madrasah Darus Islah Ulu Gemilang.
Mangsa yang merupakan anak sulung dari tiga beradik kini ditempatkan di wad lima HTAN sebelum pembedahan dilakukan petang semalam.
|
|