AIDA Jaafar menunjukkan generator yang digunakan untuk menyediakan bekalan elektrik di rumahnya di Kampung Pelupok, Aring 2, Gua Musang, baru-baru ini.
GUA MUSANG 28 Julai - Dalam tempoh 55 tahun negara mencapai kemerdekaan, masalah seperti ketiadaan bekalan elektrik tidak sepatutnya berlaku lagi. Entah di mana silapnya, kira-kira 16 keluarga di Kampung Pelupok, Aring 2 dekat sini tidak mendapat kemudahan bekalan elektrik sejak 30 tahun lalu. Sejak itu juga, keluarga berkenaan terpaksa mengunakan sistem penjana kuasa elektrik dan ada kalangan mereka yang hanya mengunakan lilin. Mereka telah banyak kali membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab, namun tiada satu usaha pun dilakukan bagi membantu mereka. Seorang warga emas, Husin Ali, 68, berkata, beliau mula menetap di kampung berkenaan pada 1986 dan sejak tempoh itu rumahnya belum mendapat bekalan elektrik Katanya, ketika orang lain selesa dengan kesempurnaan di rumah yang lengkap dengan kemudahan asas tersebut, dia dan keluarga terus hidup seperti zaman purba kala. "Sudah hampir 30 tahun saya menetap di sini, dari keadaan sihat sampai lumpuh separuh badan, belum pernah lagi saya berasa kemudahan elektrik, saya cuma mahu kesempurnaan sebab dengan keadaan sekarang, mahu mengesot pergi ke tandas pun susah.
"Kalau mahu mengharapkan lilin, saya rasa bahaya pula kalau lilin itu terjatuh dan boleh menimbulkan hal lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini. Seorang penduduk, Mariam Hamid, 52, pula berkata, beliau sudah menetap lebih 20 tahun di kawasan itu dan berharap bekalan elektrik akan dipasang bagi memudahkan anak-anaknya belajar dalam suasana yang lebih selesa. "Kita ini tidak apalah, sudah tua, tetapi macam mana pula nasib anak-anak yang hendak belajar. Sekarang ini bukannya belajar macam zaman dahulu yang hanya menggunakan lilin," katanya.
Seorang suri rumah, Aida Jaafar, 48, pula berkata, beliau terpaksa membeli penjana kuasa elektrik untuk memudahkannya membuat kerja rumah walaupun tahu kos minyak yang ditanggung adalah tinggi berbanding kos bekalan elektrik. "Selalunya saya menggunakan mesin itu pada waktu malam sahaja bagi menjimatkan kos kerana dalam beberapa jam sehari pun, saya terpaksa menghabiskan duit untuk kos minyak sebanyak RM300 sebulan," katanya. Tambahnya, beliau berharap masalah tersebut akan dapat diselesaikan secepat mungkin supaya mereka dapat meraikan Aidilfitri tidak lama lagi dengan penuh cahaya. "Saya berharap raya tahun ini dapat memberi kelainan sedikit dari tahun sebelum ini, hendak juga rasa kemeriahan menyambut hari raya dengan memasang lampu warna-warni," katanya.
Seorang lagi penduduk, Abdullah Sani Husin, 60, berkata, dulu beliau hanya menggunakan pelita dan sekarang apabila berkemampuan, dia membeli penjana kuasa elektrik bagi memperoleh sedikit keselesaan dalam melakukan aktiviti di rumah terutamanya ketika waktu malam. Katanya, selain daripada membeli mesin itu, beliau juga telah membuat pendawaian elektrik di rumahnya dengan menelan belanja ribuan ringgit kerana dimaklumkan pihak tertentu akan menyambung bekalan elektrik ke rumahnya. "Setahun yang lepas saya ada membuat pendawaian elektrik sebab dengar ada pihak yang akan menyambungkan bekalan elektrik ke kampung ini, tetapi setelah setahun menunggu, masih tidak ada jawapan dan tindakan lagi. "Saya juga berharap pihak yang bertanggungjawab datang menyelesaikan masalah kami di sini," katanya.
A
|