|
HAMPIR dua tahun melayari bahtera perkahwinan bersama suami tercinta, Ahmad Aznaim Abdullah (Naim), penyanyi yang kenal menerusi lagu Kalau Berpacaran, Ana Raffali, meluahkan rasa teruja dengan kehadiran Ramadan yang mulia ini.
Menurut Ana, status sebagai isteri melengkapkan lagi kehidupannya bersama insan tersayang dalam menyambut bulan yang penuh keberkatan.
"Bagi saya tempoh menjalani kehidupan bersama suami sangat begitu bermakna. Sementelah lagi dengan kehadiran Ramadan.
"Bulan suci ini sememangnya sangat dinanti-nantikan kami. Inilah masanya untuk kami beribadah serta mengerjakan solat terawih bersama-sama," katanya.
Tidak lokek berkongsi kegembiraan, Ana berkata, mencium tangan suami selepas solat adalah saat yang paling bermakna buatnya. Malah itulah detik yang paling bahagia sepanjangnya bergelar isteri.
"Hubungan suami isteri akan lebih kuat apabila kita dapat mengerjakan solat bersama-sama. Malah itulah kunci kebahagiaan rumah tangga. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini," kata Ana.
Berkongsi sambutan Ramadan kali ini, Ana memberitahu, dia sangat bertuah kerana dapat tinggal berdekatan bersama ahli keluarganya di Lembah Keramat.
“Seperti tahun lalu, tahun ini mungkin saya tidak berkesempatan memasak sepanjang bulan Ramadan. Namun ia tidak akan menjadi masalah buat saya dan suami, memandangkan kami bergilir-gilir berbuka sama di rumah keluarga saya atau dia,” katanya.
Tambah Ana lagi, dengan cara tersebut ia dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara mereka.
Punya menu pilihan sendiri untuk berbuka puasa, Ana berkata, gulai masak lemak udang pasti menjadi hidangan.
"Itu memang lauk kegemaran saya dan suami. Jika berkesempatan saya sendiri akan menyediakannya buat kami sekeluarga," kata Ana.
Tunggu cahaya mata
Lumrah bagi pasangan yang berkahwin, pastinya mengimpikan cahaya mata bagi menyerikan lagi rumah tangga yang dibina. Begitu juga dengan pasangan ini. Menurut Ana, dia dan suami masih menanti kehadiran zuriat sendiri.
"Kami tak pernah merancang. Semua ini kami serahkan pada ALLAH. Sebagai wanita saya memang berharap untuk memiliki cahaya mata.
"Mungkin belum ada rezeki buat kami, tapi kami tak pernah putus asa," kata Ana yang pernah dikhabarkan hamil sebelum ini.
Ana dan Naim melangsungkan pernikahan pada Februari tahun lalu dalam sebuah majlis ringkas di Masjid Al-Hidayah, Gombak.
Tolak tawaran seni
Berkongsi karier seninya, Ana memberitahu, dia masih menerima banyak tawaran nyanyian sepanjang Ramadan. Namun dia terpaksa menolaknya secara baik.
Menurut Ana, dia bukannya sengaja menolak tawaran yang diberikan sebaliknya ingin meluangkan masa bersama suami dan keluarga dalam menjalankan ibadah puasa di bulan yang penuh keberkatan ini.
"Saya tidak menolak tawaran kerana itu adalah rezeki dari Allah SWT, sebaliknya saya akan memilih tawaran yang berbentuk ketuhanan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ana turut mempromosikan single terbarunya, Jauh Ke Syurga, sebelum tampil dengan album penuh tahun depan.
|
|