View: 2015|Reply: 1
|
FAM masih timbang kes baling mercun final Piala FA
[Copy link]
|
|
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk mengenakan hukuman denda ataupun tidak kepada Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) susulan kecuaian keselamatan ketika berlangsungnya final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan tersebut hanya akan diketahui selepas dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib nanti.
“Buat masa ini saya belum lagi melihat kes tersebut, kalau ada pun ia akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa Tatatertib nanti.
“Selepas itu, baru keputusan tersebut akan dibuat, apa pun, kita akan lihat sama ada perlu atau pun tidak hukuman tersebut,” kata Hamidin kepada pemberita di Wisma FAM, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemasukan bahan terlarang di dalam stadium yang menyebabkan seorang penyokong Kelantan hampir pekak akibat terkena letupan mercun semasa menyaksikan perlawanan tersebut.
Telinga kiri Mohammad Razuki Derahman, 40, kini masih berdengung akibat letupan mercun yang dibaling dari aras tiga stadium dalam kejadian jam 10.45 malam itu. Selain telinga, Mohammad Razuki turut cedera di bahu kiri manakala bajunya koyak.
Mengulas lanjut, Hamidin berkata, pihaknya akan berusaha untuk membendung gejala itu walaupun mengakui ia bukan tugas mudah.
“Kami memandang serius tindakan penyokong membakar mercun dan menyalakan suar ketika di dalam stadium ini kerana ia boleh membahayakan penonton.
“Macam saya kata, larangan membawa mercun atau suar memang ditegah dari awal lagi, namun ia masih lagi berlaku. Malah pihak polis dan pihak FAM sendiri bertungkus-lumus untuk menyelesaikan masalah ini.
“Apa pun, kita akan berusaha mencari dan melihat kaedah lain bagi menangani masalah ini, tapi untuk menghapuskan seratus peratus memang sukar,” jelas Hamidin.
Dalam perkembangan lain, Hamidin juga menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah ‘membisu’ berhubung aduan terhadap mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M).
Sebaliknya, FAM akan memberikan respons terhadap setiap aduan yang dikemukakan oleh mana-mana persatuan bola sepak (FA) negeri atau kelab.
“Saya sudah semak perkara ini dengan Datuk Azzuddin Ahmad (bekas Setiausaha Agung FAM) serta jabatan pengadil dan FAM sudah memberikan maklum balas serta penerangan yang jelas terhadap segala aduan dan ketidakpuasan dikemukakan PBNJ.
“Saya menafikan kami hanya berpeluk tubuh tanpa membuat sebarang tindakan seperti didakwa pihak terbabit. Kami sentiasa serius dan bersikap proaktif dalam meningkatkan mutu bola sepak negara.
“Tapi mereka kena ingat bukan semua aduan yang dibuat betul, apa pun kami akan cuba meningkatkan mana yang perlu,” jelas beliau lagi.
Dalam laporan media tempatan semalam, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan meluahkan rasa kesal terhadap mutu pengadilan Liga M.
Zulkurnain berkata demikian sehari selepas menyaksikan perlawanan antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Selangor pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu.
Menurut Zulkurnain, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) telah membuat lebih daripada lima aduan rasmi kepada FAM, namun tiada satu jawapan yang diterima daripada badan induk itu.
|
|
|
|
|
|
|
|
Datuk Hamidin Mohd Amin
|
|
|
|
|
|
|
| |
|