|
AKTOR kacak ini bukanlah asing di kalangan peminat seni mahupun pengarah tersohor Hollywood.
Malah boleh dikatakan, dia mempunyai pengikut setia dari seantero dunia termasuklah di Malaysia.
Sedikit mengenai pembabitan awalnya dalam bidang seni, jejaka ini mula berkecimpung dalam bidang seni ketika dia berusia 9 tahun lagi menerusi pementasan teater. Antara teater lakonannya adalah Romeo and Juliet.
Selepas itu, pelakon kelahiran Lebanon ini mendapat peluang besar apabila diberi kepercayaan membintangi sebuah drama bersiri komedi iaitu Hang In di Saluran CBC.
Bermula dari situ, kerjayanya semakin berkembang dan pemilik nama Keanu Charles Reeves atau lebih dikenali sebagai Keanu Reeves ini terus mencuri perhatian pengarah Hollywood apabila usianya mencecah ke angka 21 tahun.
Tidak perlu menunggu lama, dia mula muncul menerusi pelbagai filem seperti Letting Go, One Step Away, Youngblood, Under the Influence dan Act of Vengeance yang berjaya melonjakkan namanya di persada seni.
Menariknya, kerana auranya yang tersendiri, Reeves tidak menang tangan menerima tawaran yang datang kepadanya sehingga pernah melakonkan lebih lima filem dalam tahun yang sama.
Atasi Johny Depp
Meskipun pelbagai filem telah dibintangi, namun kemunculannya sebagai Thomas Anderson atau Neo menerusi filem 'berhantu', The Matrix sekitar 1999 masih diingati sehingga ke hari ini.
Masih terbayang di mata lakonan hebatnya yang memainkan peranan sebagai seorang computer programmer dalam filem itu.
Akui Reeves, filem itu meninggalkan impak yang besar sepanjang kariernya.
“Sehingga kini mereka masih ingat saya sebagai Neo walaupun filem itu ditayangkan 14 tahun lalu.
“Saya berterima kasih kepada pengarah dan produksi The Matrix kerana memilih saya sebagai teraju utama,” katanya.
Sedikit mengenai pemilihan pelakon, pada awalnya, Will Smith, Nicolas Cage, Brad Pitt dan Val Kilmer telah dipilih untuk memainkan peranan dalam filem itu, pun begitu mereka terpaksa menolaknya atas alasan tertentu.
Selepas itu barulah Reeves berjaya mendapatkan watak tersebut apabila mendapat lebih undian memegang peranan itu mengatasi aktor versatil, Johny Depp.
Lakonan, arahan terbaik
Meskipun sudah berusia 48 tahun, namun obsesinya terhadap bidang lakonan tidak pernah terpadam.
Bahkan bintang filem Speed ini terus hadir dengan buah tangan terbaru setiap tahun.
Terbaru, Reeves bakal muncul menerusi filem Man of Tai Chi.
Menariknya, selain menjadi salah seorang pelakon, Reeves juga bertindak sebagai pengarah untuk filem tersebut.
Memulakan penggambaran sekitar tahun 2008, filem ini mengangkat konsep seni mempertahankan diri masyarakat Cina dan Amerika.
Jelas Reeves, meskipun sudah biasa dengan filem aksi, namun filem itu satu kelainan baginya kerana dia menjadi pengarahnya.
“Saya mahukan yang terbaik untuk filem ini, sebab itulah selain saya sendiri, pelakon lain yang dipilih juga adalah mereka yang terbaik,” katanya yang menggunakan khidmat pelakon Tiger Chen, Karen Mok, Iko Uwais dan Simon Yam untuk filem itu.
Sedikit mengenai Man of Tai Chi, ia berkisarkan mengenai pengamal seni mempertahankan diri yang menggunakannya untuk perlawanan haram.
|
|