Kuala Lumpur: Sukar bagi pengarah filem bebas (indie) terutama yang mempunyai bajet kecil untuk melangkah lebih jauh dalam penerbitan filem di tanah air sekiranya pencapaian hanya dilihat daripada segi jumlah kutipan pecah panggung. Pengarah M Subash Abdullah berkata, sesuai dengan jiwa muda ramai pengarah muda terutama pengarah indie begitu membara semangat mereka untuk menghasilkan filem berkualiti bagi menembusi pasaran dunia, tetapi banyak halangan terpaksa dilalui mereka terutama kekurangan modal. Selain itu, terdapat masalah lain yang harus dilalui pengarah baru misalnya masalah tayangan di panggung kerana filem indie berbajet rendah tidak memenuhi piawaian tauke panggung. Lebih mengecewakan filem genre begitu sering dianggap hanya merugikan mereka.
“Pengarah filem arus perdana mahupun indie, sering didesak menghasilkan filem mendidik moral atau memberi nafas baru dalam perfileman tapi dengan bajet rendah agak sukar untuk pergi lebih jauh dalam industri ini.
“Walaupun bajet pengarah itu kecil tapi mereka berjiwa besar, mungkin mereka hanya layak menghasilkan filem seram, tahyul dan dilabel sebagai filem ‘bodoh’ kerana kekangan kewangan yang mendesak menjadi penghalang mereka untuk terus berkarya.
“Di sebaliknya pula, syarikat gergasi dalam perusahaan filem mampu menguasai panggung, sekali gus mempunyai perancangan berskala besar dan pastinya akan ‘membunuh’ pengarah kecil dan baru ini. Itu semua aspek merugikan dan kerajaan tidak harus memandang sepi masalah ini,” katanya.
Subash turut meminta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melakukan perubahan dari segi ‘syarat wajib tayang’ kerana ada kalangan mereka mendapat tarikh kurang sesuai sehingga sukar menarik penonton ke panggung.
Pengarah ini juga mempersoalkan mengapa Finas perlu mendengar desakan pihak pawagam untuk tayangan filem dan mengatakan filem itu laku atau tidak? Tidak sewajarnya kata Subash FINAS hanya ‘menemukan’ saja pengarah dengan tauke panggung tanpa tindakan susulan. “Sebagai orang tengah, FINAS seharusnya ada pendirian sendiri. Sebagai contoh, tiba musim perayaan hanya syarikat besar mendapat hak menayangkan filem di pawagam dan tentunya mereka mendapat keuntungan berganda berbanding pengarah yang memiliki bajet rendah,” katanya.
Perihal kurangnya nilai patriotik di kalangan pengarah muda, Subash menafikan pandangan itu kerana katanya, mereka juga ada tanggungjawab besar memikul tanggung jawab sosial di bidang seni yang diperjuangkan itu.
“Jika pemimpin atau politik semasa tidak dapat menyatukan rakyat, peranan ini harus direbut pengarah atau penerbit filem untuk membentuk hubungan baik dalam masyarakat.
“Mungkin pengarah muda mampu membangkitkan isu menarik mengikut cara terkini untuk dijadikan bahan dalam filem yang diarah mereka jika diberi peluang. “Lebih hebat lagi, jika mempunyai bajet lebih besar dan dibantu elemen yang positif yang memberi ruang berkarya lebih hebat tentunya pengarah muda akan lebih menyerlah,” katanya.
Sementara itu, James Lee atau Lee Thim Heng berkata, agak sukar menjadi pengarah berjaya kerana penerbit berskala besar lebih mengejar nilai komersial. Dia turut menyalahkan penonton yang berkira-kira terhadap nilai wang lebih RM10 ke panggung menonton filem Melayu, sebaliknya memilih filem barat kerana kelebihan dimiliki filem barat tidak boleh disangkal.
“Saya yakin pengarah muda boleh berjaya jika diberi peluang. Bagi kebanyakan penonton, filem Hollywood lebih menarik dan menjadi punca kurangnya sokongan untuk menonton membuatkan penerbitan filem tempatan bertambah suram kerana penonton kita terlalu berkira,” katanya.
|