TAIPEI 3 Nov. - Pesawat Singapore Airlines yang terhempas Selasa lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 81 orang, termasuk 4 rakyat Malaysia disahkan terlanggar peralatan pembinaan ketika berlepas dari landasan yang ditutup untuk dibaiki dalam cuaca buruk, kata pendakwa raya Taiwan hari ini. ''Kami yakin bahawa pesawat berlepas dari landasan yang salah sejak dari permulaan lagi. Ia melanggar sebahagian bahan-bahan besi dan dua jentera pengorek mekanikal sebelum meletup,'' kata pendakwa raya Song Kuo-yeh dari daerah Taoyuan kepada AFP. Bagaimanapun mengenai persoalan kenapa pesawat Boeing 747-400 ke Los Angeles dengan membawa 159 penumpang dan 20 anak kapal itu menggunakan landasan yang ditutup kerana sedang dibaiki, Song berkata: ''Itu memerlukan siasatan selanjutnya.'' Kebanyakan serpihan pesawat ditemui di landasan 05R yang ditutup - yang turut dipenuhi dengan jentera pengorek mekanikal dan blok simen - walaupun pesawat sepatutnya menggunakan landasan selari 05L. ''Kami akan bekerjasama dengan penyiasat penerbangan bagi menentukan siapa yang patut bertanggungjawab ke atas nahas ini,'' kata Song, ketika beliau membantu saudara mara mengenal pasti mayat mangsa nahas di rumah mayat Taoyuan. Song berkata, siasatan selanjutnya perlu dijalankan mengenai sama ada menara kawalan telah mengesan kesilapan itu dan sama ada ia telah memberi amaran awal kepada kapten terbabit. Penyiasat juga perlu memastikan sama ada lampu dihidupkan dengan betul di landasan dan kenapa ia dibenarkan berlepas dalam cuaca ribut pada waktu malam, katanya. Kebiasaannya lampu tidak akan dinyalakan di landasan yang ditutup bagi menunjukkan bahawa ia tidak digunakan. Bagaimanapun, di Lapangan Terbang Chiang Kai-shek, hanya terdapat satu suis kawalan lampu hijau digunakan bagi laluan masuk ke kedua-dua landasan selari itu. Timbalan Pengarah Pentadbiran Awam Penerbangan, Chang Kuo-cheng berkata, lampu putih/kuning pada landasan 05L dinyalakan sepenuhnya pada malam Selasa lalu dan hanya lampu hijau berpusat dipasang di landasan 05R. Di laluan masuk itu, terdapat empat papan tanda besar menunjukkan arah ke landasan 05L, tambah beliau. Tetapi beliau enggan menyatakan secara jelas bahawa kesilapan juruterbang menjadi punca utama kekeliruan itu. Landasan 05R tidak disekat kerana sebahagian daripadanya digunakan oleh pesawat yang baru mendarat untuk kembali ke terminal. Juruterbang mengesahkan dua kali kepada menara kawalan bahawa beliau berada di landasan yang betul. Bagaimanapun, pegawai di situ tidak menyedari bahawa pesawat sebenarnya bergerak ke landasan yang salah kerana lapangan terbang itu tidak mempunyai radar bumi dan pesawat tidak kelihatan ketika ia berlepas. Juruterbang dua pesawat China Airlines yang menunggu untuk berlepas di belakang pesawat SIA itu, ternampak ia membelok ke landasan yang ditutup tetapi malangnya mereka tidak memaklumkan kepada sesiapa. Penerbangan malam SQ006 berlepas ketika taufan Xangsane melanda pulau itu. Mereka yang terselamat yang duduk di belakang kokpit dilaporkan menyedari mengenai jarak penglihatan yang rendah. Sementara itu, Song berkata, pendakwa raya daerah Taoyuan di mana terletaknya Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Kai-shek, telah menjalankan pemeriksaan terperinci di tempat nahas, termasuk mengkaji kandungan dua 'kotak hitam' dan menyoal-siasat juruterbang pesawat, saksi dan mereka yang bekerja di menara kawalan. Kapten Foong Chee Keong dan pembantu juruterbang Latiff Cyrano dan Ng Kheng Leng dilarang meninggalkan Taiwan sehingga siasatan selesai, katanya. Menurutnya, identiti 30 mangsa juga telah disahkan selepas ujian DNA. Kenyataan Song itu selari dengan penemuan oleh pihak berkuasa penerbangan Taiwan yang berkata tiada bukti menunjukkan pesawat terbabas dari landasan yang sepatutnya digunakan ke landasan di sebelahnya. Jung Kai, pegawai eksekutif bagi majlis keselamatan penerbangan Taiwan mengumumkan penemuan itu semalam, tetapi enggan menyatakan sama ada maklumat itu menyokong spekulasi bahawa pesawat malang tersebut berlepas dari landasan yang ditutup untuk dibaiki. Satu lagi teori ialah angin kencang dari taufan yang melanda pulau itu telah menyebabkan pesawat terbabas ke landasan yang ditutup, yang meninggalkan kesan tayar sejauh 200 meter di kawasan rumput antara kedua-dua landasan. Bagaimanapun, Jung berkata, kesan yang ditemui pada rumput sudah tentu bukan dari pesawat yang malang itu. ''Hanya kesan tayar pesawat penerbangan 738 Mandarin Airlines ditemui di rumput yang menyambungkan dua landasan itu,'' kata Jung.
-kemalangan pesawat Boeing 747-400 ini berlaku pada tahun 2000      border=0 />
|