CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3752|Reply: 12

Yang Tertutup Itu Indah (U)

[Copy link]
Post time 9-4-2013 06:13 PM | Show all posts |Read mode
Assalamualaikum

ingin berkongsi satu lagi novel dengan sentuhan rohani utk penambahbaikan n kritikan. Ada rezeki dapat terbitkan, dengan tajuk Yang Tertutup Itu indah. Kisah berkaitan hijab atau tudung dengan beberapa kiasan n kisah disebaliknya. Mohon sebarang cadangan tuan2. terima kasih..



Selamat membaca






Last edited by muhamad_fairuz on 9-4-2013 07:58 PM

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 9-4-2013 06:24 PM | Show all posts
Bab 1 : Perlawanan Di LuarGelanggang



Mentari menyilau mata. Tengahariyang memancarkan cahaya yang maksimum amat melelahkan manusia yang berada diluar dari kediaman. Sinarannya itu terus melemahkan jasad-jasad yang sedangbekerja. Ada yang berpeluh dan ada juga yang berpayung. Namun, pekerjaan mestiditeruskan walau apa juga halangan yang mendatang.

Di tengah-tengah hutan rimba yang terletak jauh dari kota, kelihatan dua manusiayang sedang beradu tenaga. Seorang pemuda sedang bertarung dengan seoranglelaki berusia setengah abad. Masing-masing sudah keletihan. Hampir sejam lebih mereka memulakan pertarungan. Langkah persilatan yang pelbagai diatur olehkedua-duanya. Tidak mahu mengalah.

“Kaumemang hebat, anak muda. mampu mencabar aku sehingga ke tahap ini.” ujar lelakiseparuh abad itu

“Ya,aku ada guru yang hebat.” Pemuda di hadapannya membalas.

“Aku juga.”

Pertarungan terhenti seketika. Masing-masing memandang lawannya dengan penuh perhatian.Mencari punca kekuatan dan kelemahan. Serang kelemahan itu dan kemenangan pastimenjadi milik orang yang paling peka dengan kelemahan lawannya. Namun, dia harus behati-hati. Lawannya juga memikirkan tentang perkara yang sama.

Pemuda itu melangkah beberapa tapak mendekati lelaki tua di hadapannya. Melihatkan lawannya tidak berganjak, dia mencuba beberapa gerak serangan untuk menakutkan lawan. Setelah beberapa kali mencuba, lawannya itu masih tidak berganjak seolah-olah mampu menbaca hatinya. Dia nekad untuk menyerang namun tumbukannyatidak mengena. Tendangan kaki kanannya pula hanya menyepak angin.

Lelaki tua itu berjaya mengelak. Gerakannya tidak menggambarkan usia emasnya. Seolah-olah mereka ini sebaya. Kini tiba lelaki tua itu untuk menyerang.Beberapa tumbukan ke arah muka dan perut pemuda berjaya ditangkis namun cukup kuat untuk menolak pemuda itu ke tempat asalnya berdiri.

Pertarungankembali bermula dengan beberapa serangan rendah. Masing-masing masih berlawansecara berhati-hati. Tujuannya hanya ingin menjauhkan lawan. Beberapa seranganke arah kaki mula dilakukan oleh pemuda itu tetapi berjaya dielak oleh lawannya.

“Sudahlah.Aku terlalu tua untuk berlawan dengan orang muda seperti kamu.”

“Baiklah,Tok Guru.”

“Kini tamatlah ujian dan pelajaran kau di sini. Sepanjang lima tahun ini semua ilmu persilatan telah aku turunkan kepada kau. Gunalah sebaik mungkin bagi membantumereka yang dalam kesusahan.”   

“Benarkah,Tok Guru?”

“Ya.kau dah semakin matang. Tok percaya kematangan ini mampu membantu kau untuk berfikir secara baik dan waras supaya tidak terjebak dalam dosa dan melakukan kesalahan yang lampau.”

“InsyaAllah,Tok Guru. Saya berjanji.”

“Sekarangkau pergilah berehat. Menjelang pagi esok, kau boleh berangkat pulang. Tempoh kau di sini pun sudah tamat. Tibalah masa untuk kau berkhidmat di sana pula. Tanah tumpah darah kau.”

Kata-kata itu seolah-olah membuatkan Hakim terpaku mengenangkan tanah airnya. Matanya mula berkaca tetapi jiwa dan egonya sebagai seorang lelaki berjaya menahan kaca itu dari jatuh berderai.



*****              *****              *****              *****              *****


bersambung...


Last edited by muhamad_fairuz on 9-4-2013 06:52 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-4-2013 08:04 PM | Show all posts

Malam itu tidur Hakim tidak lena. Dia mula memikirkan tentang kata-kata Tok Guru serta nasibnya apabila esok kembali menjelma. Matanya tidak berkelip memandang langit yang tidak bercahaya itu. Kosong tanpa sebarang corak. Hanya bunyi cengkerik dan unggas menghiasi kamar yang sepi itu. Sesepi hati dan jiwa Hakim ketika ini. Fikirannya berkecamuk.

Awan kelabu mula berarak berat di luar jendela. Suasana alam bagaikan disumpah menjadi muram. Segala-galanya kelihatan sudah hilang seri. Segala-galanya hilang punca. Tidak lama lagi, kesepian ini akan dipecahkan dengan deruan hujan.

Lantas Hakim terkenang akan ibunya. Sudah bertahun-tahun dia meninggalkan kampung halamannya. Dengan kata yang lebih tepat lagi, dia dihalau dari kampung halamannya.  

“Kau tak tidur lagi?” satu suara menerjah dari belakang. Hakim tidak berpaling. Dia kenal benar dengan pemilik suara itu. Sudah tentu milik Tok Gurunya. Lagipun, jika bukan Tok Guru, siapa lagi yang bersama mereka.

“Oh, Tok Guru! Belum mengantuk lagi.” Hakim menjawab santun.

“Belum mengantuk walaupun sepanjang hari kita bertarung?”

“Ya, entahlah sukar untuk lelapkan mata.”

“Kalau begitu mahukah kau kalau aku ceritakan satu kisah?”

“Dengan kisah ini saya akan mengantuk?”Tok Guru sedikit tersenyum dengan gurauan Hakim itu.

“Kalau kau anggap kisah ini dongeng maka kau akan mengantuk. Jika kau rasa kisah ini benar, pasti kau teruja dan bersemangat mendengarnya.”

“Ya, ceritakanlah kepada saya.” Hakim meminta.

“Pada masa dahulu, ada seorang wira yang menyelamatkan kampung dan kawasan sekitarnya dari penjahat dan pencuri. dia berkawal hanya pada waktu malam kerana siang hari dia bekerja seperti biasa.” Tok Guru memulakan cerita. Seakan-akan satu ceritera dongengan atau epik yang telah hilang.

“Hari demi hari dan kejadian demi kejadian menyebabkan namanya harum. Penduduk kampung menggelarkannya Topeng Hitam”

“Satu hari demi mengejar nama dan sanjungan dia mendedahkan identitinya. Memang dia disanjung dan dipuji. Namun, keluarganya menjadi ancaman. Dia tidak lagi keluar malam untuk membantu sebaliknya menjaga dan menghabiskan masa malamnya di rumah.”        

“Dia tidak lagi pedulikan masalah dan keselamatan orang kampung?” Hakim bertanya.

“Tidak, tetapi keluarganya menjadi ancaman musuh-musuh yang pernah ditewaskannya. Dia tidak dapat menjaga keluarga dan orang kampung dalam satu masa. Kelemahan itu menjadi berita gembira kepada mereka yang melakukan kejahatan seperti mencuri dan bergaduh. Tidak ada siapa lagi yang boleh menghalang.”

“Apa yang terjadi kepada wira itu?” Hakim memberikan respon.

“Wira itu akhirnya menjadi sampah masyarakat. Dia dicemuh dan dihina kerana tidak mahu menyelamatkan penduduk yang dalam kesusahan. Pujian orang kampung kepada wira selama ini bertukar menjadi celaan.”        

“Malang sekali.” Hakim mula terkesan dengan cerita itu.

“Lebih malang apabila isterinya juga turut tidak tahan dengan cemuhan itu. Mereka sering bertengkar dan bergaduh. Hari demi hari mereka tidak lagi sehaluan. Penceraian tidak dapat dielakkan. Kau tahukan apa puncanya?”

“Ya. sikap wira itu yang inginkan sanjungan menyebabkan keluarganya berada dalam bahaya.”

“Sekiranya dia tidak mendedahkannya, musuh tidak akan tahu siapa dia dan di mana rumahnya. Wira itu melakukan kesilapan yang besar dan membataskan pergerakannya serta mendedahkan identiti kepada musuh. Jadi dia gagal dalam usahanya.”
Hakim mendengar dengan tekun. Keningnya bertaut, matanya mengecil.

“Pernah satu ketika, wira itu mengalahkan 7 tujuh orang penyamun dalam satu masa. Mereka adalah sekumpulan 40 penyamun yang berleluasa di kampung sekitar. Ketika itu penduduk kampung sangat gembira. Mereka sendiri menyaksikan pertarungan itu di dalam sebuah rumah yang sedang disamun.” Tok Guru menyambung cerita.

“Wah, wira itu menentang sekumpulan penyamun seorang diri!” Hakim berasa kagum.

“Ya. masing-masing bertarung dengan tangan kosong sahaja. Kemenangan akhirnya menjadi milik wira itu.” Tok Guru menambah.

“Jadi, kumpulan penyamun tadi mesti mahu membalas dendam. Itu tentu sukar bagi wira.” Jangka Hakim.

“Tidak. Wira telah merancang dan bertindak mengikut rancangan.” Tok Gurunya menjawab.

“Rancangan?”

“Ya, dia sengaja membiarkan salah seorang dari tujuh penyamun itu melarikan diri.”

“Mengapa begitu?

“Sudah tentu penyamun itu akan kembali ke pangkalannya meminta bantuan atau memberi laporan. Jadi, wira dan penduduk kampung mengekorinya dan menangkap kesemua mereka.”

“Sungguh mengagumkan!” Hakim melafazkan rasa kagumnya tanpa berselindung.

“Ya, wira dianggap penyelamat kepada kampung itu dan kampung sekitarnya yang pernah menjadi mangsa sekumpulan 40 penyamun itu. Namun, penduduk kampung tetap manusia biasa. Bila menang dipuji, bila kalah dia dikeji. Setelah mendedahkan identitinya, kegagalan wira itu menyelamatkan penduduk kampung dalam beberapa kejadian menyebabkannya disisih.”  

Hakim terpaku memandang wajah Tok Gurunya itu. Seolah-olah kisah itu sinonim dengan sejarah hidupnya. Sudah menjadi lumrah manusia. Apabila berjasa seseorang itu akan dikagumi masyarakat, namun apabila tersilap langkah, orang yang sama itu akan dicela dan dicemuh.

Begitulah kehidupan yang diibaratkan seperti roda. Kadangkala manusia berada di atas dan kadangkala berada di bawah. Apabila berada di atas, seseorang itu akan mendapat penghormatan dan pujian dari masyarakat, namun apabila berada di bawah tiada seorang pun yang akan mengendahkannya.

“Ingat, anak muda. ada kalanya sesuatu perkara itu elok dibiarkan rahsia. Sebagaimana kita beribadah kepada Yang Maha Kuasa dan merahsiakan amalan itu daripada orang ramai. Nikmatnya lebih terasa. Terhindar dari fitnah dan ancaman dalam hidup yang sementara ini.”

Hakim hanya mengangguk. Ayat yang sangat mudah untuk difahaminya. Namun, ia sangat sukar untuk dilaksanakan.

“Kini kau sudah ada kekuatan dan ilmu persilatan yang tinggi. Aku mahu kau rahsiakannya daripada masyarakat kelak. Gunakan ilmu ini hanya untuk mempertahankan diri sahaja atau dalam keadaan terdesak. Jangan menunjuk pada orang lain. Jika tidak, kau akan menjadi seperti wira yang saya ceritakan sebentar tadi.”

“Saya rasa saya mengerti apa yang Tok Guru cuba sampaikan. Saya cuba untuk rahsiakan kemampuan saya dan menggunakannya ketika perlu sahaja.”

“Baguslah kalau begitu. Kekuatan yang Allah kurniakan bukannya untuk menjadi tontonan dan mendapat pujian ramai, namun ia adalah untuk kegunaan di kala waktu sukar.”

“Saya faham. Tapi, mengapa Tok Guru ceritakan ini kepada saya?” Hakim kembali runsing.  Jarang sekali Tok Gurunya itu menyampaikan pesanan dalam bentuk penceritaan.

“Aku tahu kau ada masalah. Masalah yang lama kini kembali menghantui.” Jawab Tok Guru.

“Bagaimana Tok Guru boleh tahu saya ada masalah.” Hakim kehairanan.

“Aku bersama kau selama lima tahun. Jika aku tidak kenal kau, siapa lagi kenal.”

Hakim hanya tersenyum kelat. Dia menunggu nasihat tambahan dari Tok Gurunya. Mungkin ini adalah nasihat yang terakhir kerana esok dia akan berangkat kembali ke kampung halamannya.

“Lagipun sudah hampir pukul dua belas. Sudah tengah malam. Hanya orang yang ada masalah sahaja yang sukar untuk lelapkan mata dan berjalan-jalan di tengah hutan ini.”

“Kau masih dihantui kenangan dan kesalahan yang lama. Selagi mana kau tidak lupakannya, selagi itulah kau tidak akan dapat membina masa depan yang baru.”

“Saya tidak pasti orang kampung akan terima saya ke tidak.”

“Dalam hati mereka sebenarnya ada luka yang tidak dapat disembuh. Kepulangan kau tidak memberi mereka sebarang makna. Kau perlu buktikan sesuatu. Tunjukkan kepada mereka bahawa peluang kedua itu wujud.”

*****                *****                *****                *****                *****

Bersambung...
Reply

Use magic Report

Post time 10-4-2013 09:08 AM | Show all posts
Citer yg penuh bererti....

Sambung please...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 11-4-2013 06:06 PM | Show all posts
Sambungan....

Pagi yang cerah. Mentari bersinar seperti selalu. Cuaca ini sangat baik untuk Hakim memulakan perjalanan yang memakan masa setengah hari. Usai berjabat salam, Tok Gurunya menarik tangan Hakim supaya tidak tergesa-gesa melangkah pergi. Hakim mengerti dan hanya menunggu.

“Sebelum kau pergi, aku nak hadiahkan sesuatu.” Tok Guru memulakan bicara.

Lelaki separuh abad itu berpaling dan kembali ke arah Hakim bersama satu bungkusan kain. Lantas dia membuka balutan itu dan kelihatan kotak kecil berwarna coklat seraya dihulurkan kepada Hakim.

“Ingat, Hakim. Dalam diri kau sebenarnya ada banyak sifat-sifat baik. kau berani dan jujur. Aku mahu kau buka kotak ini semasa kau sedar yang kau adalah orang baik.” Tok Guru berpesan.

“Baiklah, Tok Guru.” Hakim mengangguk-angguk.

“Kejadian lima tahun lepas hanyalah satu kesilapan yang kau tidak akan ulanginya sekali lagi.”

“Saya faham. Saya beredar dahulu. Semoga Allah pertemukan kita di lain masa.”

“Semoga Allah menjaga kau di setiap masa kerana aku sudah berada jauh untuk melindungi kau.”

“Doa dari Tok Guru sudah memadai.” Ujar Hakim seraya berlalu pergi.

*****                *****                *****                *****                *****

Reply

Use magic Report

Post time 11-4-2013 06:33 PM | Show all posts
Link ape tu? Blog ke gambar je?
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 11-4-2013 07:56 PM | Show all posts
Hajat hati sbnrnya nk letak gambar tp bila post bertukar jd link, gmbr cover depan kisah ni.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-4-2013 10:35 PM | Show all posts
Sambungan

Episod Duka

Langkah kaki Hakim seakan-akan semakin perlahan. Mungkin jarak perjalanan yang terlalu panjang membataskan kelajuannya. Sudah lebih dua jam dia berjalan. Hampir sepuluh batu perjalanannya namun masih belum sampai ke destinasi yang ingin ditujunya. Dia tahu jalan ini akan membawanya keluar dari hutan ini. Penanda arasnya hanyalah sebatang sungai di sebelah diri dan beberapa rumah usang di sebelah kanannya.

Di hujung jalan ini dia akan menemui jalan besar. Di situ nanti banyak kenderaan yang lalu-lalang yang boleh ditumpang. Namun pada zahirnya dia lebih suka untuk berjalan kaki sahaja. Dahulu. dia datang ke tempat itu dengan berjalan kaki dan sekarang dia kembali ke kampungnya juga dengan berjalan kaki.

Beberapa rumah usang yang dilaluinya seakan-akan memberi bayangan kepadanya bahawa rumah itu kosong tanpa penghuni. Hanya Tok Guru itu sahaja yang tinggal di hutan itu. Di kala semua penghuli menikmati kemajuan dan berhijrah ke Bandar dan kawasan-kawasan sekitar, guru silat berusia setengah abad itu memilih untuk kekal di tempat bersejarah bagi dirinya.

Langkah demi langkah, dan gambaran demi gambaran yang sedang bermain di mindanya. Setiap rumah, pokok, desiran air seolah-olah memberikannya satu cerita. Cerita duka dan menyayat hati. Dia cuba mentafsir gambaran cerita itu. Cerita tentang dirinya. Hakim yang dulunya seorang yang jahat dan penuh kealpaan.

Hakim berpaling ke arah kiri. Desiran air mengingatkannya kepada beberapa wajah yang menyebabkannya tersisih dari kampungnya sendiri selama beberapa tahun. Wajah-wajah ini menghantui dirinya semula kerana dia akan bertemu kembali dengan penduduk kampung dalam beberapa ketika sahaja lagi.

.................

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 13-4-2013 10:37 PM | Show all posts
Sambungan....

Ingatannya kembali bernyala. Fikirannya ligat memutarkan dialog ketika mereka bertemu di tepi Sungai Pahang. Tempat keramat bagi dirinya. Di situlah segalanya bermula.

“Kalau kau mahu masuk kumpulan kami, kau perlu lakukan sesuatu.” Ujar Hashim, pemuda kampung Temai Hulu.

“Aku rasa kau tidak akan mahu lakukan. Maklumlah, kau pengecut seperti yang lain.” Ramli pula menambah. Seolah-olah mereka mahu bermain psikologi.

“Tidak. Aku berani. Aku boleh lakukannya. Apa sahaja supaya dapat menjadi sebahagian daripada kumpulan ini.” Hakim menjawab serta menyahut cabaran mereka tanpa berfikir panjang. Hashim dan Ramli hanya tersenyum sinis seolah-olah melihat sang tikus masuk ke dalam perangkapnya ataupun ikan yang berenang di Sungai Pahang itu sudah masuk ke dalam bubunya.

Geng mereka adalah kumpulan yang dikenali sebagai Geng Helang Merah. Ini kerana mereka menjadikan tema warna kumpulan mereka hitam dan merah. Selagi kelengkapan, pakaian, dan perkakas akan di cat atau dibeli dengan warna merah atau hitam. Perkara yang menjadi tumpuan dan keistimewaan kumpulan ini adalah motorsikal mereka yang juga mempunyai warna yang sama.

Dalam kumpulan mereka hanya terdapat enam orang ahli sahaja. Dua daripadanya adalah penduduk kampung itu iaitu Hashim dan Ramli. Selebihnya adalah dari kampung lain seperti Kampung Padang Rumbia yang terletak di sebelah kampung ini dan seorang lagi tinggal di Taman Seri Setia di Bandar Pekan.

Mereka selalu bergerak dalam kumpulan dan mempunyai personaliti yang mewah. Itu yang menjadi hasrat Hakim untuk turut serta menikmati kemewahan dengan mengikuti jejak langkah kumpulan itu.

Hashim dan Ramli bekerja di Bandar Pekan. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain. Hakim sendiri tidak pasti kerja apa yang dilakukan oleh mereka. Namun, dia sedar Geng Helang Merah ini saling menyokong antara satu sama lain yang memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan dengan bantuan rakannya atau orang dalam. Sekiranya berjaya menyertai kumpulan ini, Hakim berangan-angan untuk mendapatkan kerja yang bagus untuk menjamin masa depannya.

“Apa yang perlu aku lakukan?” Hakim kembali bertanya apabila melihat kedua lelaki di depannya itu hanya memandangnya dengan sebelah mata. Sifat kelakian dan keberaniannya tercabar.

“Baik. Jika kau bersungguh, kami tidak menghalang. Lagipun ini adalah syarat untuk masuk ke dalam kumpulan kami.” Hashim menerangkan. Tangannya mengutip beberapa batu kecil dan bangun menuju ke arah Sungai Pahang di hadapannya itu. Lantas, dia membaling batu kecil yang dikutipnya sebentar tadi ke dalam air sungai itu.

“Kau akan diberi satu tugas. Sekiranya kau berjaya lakukannya, kau akan menjadi geng kami. Kau akan dapat apa yang kami dapat. Segalanya kini milik kau.” Hashim menyambung penerangan setelah habis tiga balingannya. Dia kemudian berpaling ke belakang.  

“Baik, aku bersedia.” Pantas Hakim menyahut tanpa mengetahui tugasnya terlebih dahulu.

“Hujung minggu ini ada keramaian di kampung. Dengar betul-betul apa yang kau perlu lakukan…” Nada Hashim seakan-akan berbisik. Ramli hanya memandang ke arah sekeliling. Dia melihat sama ada perbualan dan pertemuan mereka itu didengari seseorang atau tidak. Jika hal ini diketahui ramai, sudah pasti rancangan mereka akan hancur.  

Ada sesuatu yang sedang dirancang oleh mereka. Sudah pasti itu bukanlah sesuatu yang positif. Jika perancangan itu ke arah kebaikan pasti mereka tidak berbisik dan bersembunyi di tempat yang sunyi di tepi sungai itu.

*****                *****                *****                *****                *****

Bersambung.....",
Reply

Use magic Report

Post time 15-4-2013 12:42 AM | Show all posts
Sudah dibukukan ke? Macam panjang lagi nak abis

Btw, nice cover

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-4-2013 12:12 PM | Show all posts
tq tlg upload kan cover. macam mana nak upload? saya cuba tp asyik keluar link je..
Reply

Use magic Report

Post time 15-4-2013 04:19 PM | Show all posts
sebab tak cukup point.. credit hang baru 31
kasi up sikit lagi baru bulih upload kot
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-4-2013 07:20 AM | Show all posts
gtu pulak. ok insyaAllah sy akan tambah mata

ikuti sambungan ....




Matahari hampir segalah. Ketinggiannya itu menandakan hampir masuknya waktu dhuha. Langkah kaki Hakim terhenti. Dia ingin melepaskan lelah beberapa ketika, serta menunaikan solat Sunat Dhuha sebagaimana yang diajar dan diingatkan oleh Tok Gurunya supaya tidak mengabaikan waktu hening pagi yang mulia ini.  

Selepas beberapa ketika bersandar di bawah pokok yang teduh, Hakim bangun dan menuju ke anak sungai di sebelah kirinya. Kaki seluarnya dilipat. Dia lantas membasuh muka dan mengambil wuduk. Sejadahnya adalah tanah yang luas terbentang itu. Rumput-rumput menghijau seakan-akan menjadi corak tikar sejadahnya.

Selesai solat, doa dipohon bagi memudahkan perjalanan agar tiba ke destinasi dengan selamat. Di kala itu, sempat juga dia mohon agar penduduk kampung Temai Hulu menerima kepulangannya. Juga doa itu ditujukan kepada seseorang yang istimewa. Nur Azizah. Nama yang selalu bermain di fikirannya tidak kira siang dan malam.

Entah bagaimana nasib Nur Azizah pada masa ini. Sudah menjadi isteri orang agaknya. Maklumlah lima tahun terpisah tanpa sebarang berita. Pasti wanita idaman setiap pemuda kampung itu sudah dipinang atau bergelar isteri.

Usai solat, fikirannya kembali tenang. Setenang desiran air sungai di sebelah kirinya. Kepalanya berpaling ke arah desiran itu. Ia seakan-akan melukiskan satu wajah yang menghantuinya. Wajah yang tenang. Wajah Nur Azizah. Wajah itu kemudiannya mengingatkan Hakim kepada pertemuan mereka yang terakhir. Pertemuan yang ditemani oleh adik Nur Azizah iaitu Khaulah di sebuah bangsal di tepi Sungai Pahang.  

“Shah, awak dah lain sekarang. Awak bersama dengan mereka. Perangai mereka itu akan berjangkit kepada awak.’ Ujar Nur Azizah, rakan sekelas Hakim sewaktu mereka bersama-sama belajar di Sekolah Tengku Ahmad. Sekolah Menengah yang terletak di Pekan, Pahang itu mempunyai ramai pelajar dari kampung-kampung yang berdekatan termasuklah Kampung Temai Hulu.

“Saya tetap Hakim yang dulu. Saya cuma berkawan dengan mereka. Lihat sahaja kehidupan mereka yang mewah. Motorsikal yang besar. Pakaian-pakaian yang berjenama. Bagaimana mereka miliki saya harus mempelajarinya. Jika mereka bekerja di Bandar saya juga mahu.” Hakim membalas. Ada nada cemburu pada nadanya.

Rakan-rakannya yang lain seperti Hashim dan Ramli sudah memiliki motorsikal dan bergaya ke hulu ke hilir sedangkan dia yang baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat Diploma hanyalah penganggur yang menunggu rezeki yang entah bila akan turun dari langit.

“Awak tidak perlu bersusah-payah begini. Pergi sahaja ke Bandar Pekan dan cuba berdikari. Pasti ada peluang yang akan tiba.”

“Tidak semudah itu. Sekiranya ada, susah untuk saya menjadi kaya dalam masa yang singkat.”

“Kenapa perlu kaya dengan cara mudah?”

“Kerana ayah Izah.”

“Ayah saya?”

“Ya.”

“Kenapa?”

“Kami sering berjumpa di kedai makan Pak Halim. Suatu hari dia bertanya adakah saya sukakan Izah.”

“Apa yang awak jawab?”

“Sudah tentu jawapannya adalah ya.”

“Jadi?”

“Ayah Izah berkata jika dalam tangan tidak ada sepuluh ribu, jangan haraplah saya hendak masuk meminang.”

“Ayah tidak pernah ceritakan kepada saya sebelum ini.”

“Tidak mengapa, beritahu kepada dia saya akan mendapatkan duit sebanyak itu.”

“Jangan berbuat perkara-perkara yang tidak elok.”

“Jangan risau, tahulah saya bagaimana hendak menguruskan diri dan kerja.” Hakim memberi jaminan. Ada sedikit nada ketawa di hujung kata-katanya. Mungkin berasa gembira apabila wanita itu risau terhadapnya. Kata orang, risau itu tanda mengambil berat. Mengambil berat kepada seseorang pula adalah tanda kasih dan sayang. Walaupun Nur Azizah tidak meluahkan tetapi dia mampu membaca riak wajak bekas rakan sekelasnya itu.

Hakim cuba memandang tepat ke arah Nur Azizah. Wanita itu pula merenung ke atas. Seakan-akan mahu melarikan mata dari panahan pandangan sang lelaki kepada lukisan awan paling indah. Tiada pelukis yang mampu melakukan seperti ini. Tiada kontraktor yang mampu membina pandangan seperti iti. Indahnya alam ciptaan Tuhan. Terbentang langit biru dipagari awan putih yang kelihatan sempurna.

Hanya manusia yang buta kepada dunia sahaja yang mengatakan mereka adalah kaya dan memiliki segalanya. Hakikatnya, awan yang tergantung tanpa tali serta langit yang terbentang luas itu menandakan segalanya milik Yang Maha Pencipta. Tiada apa di dunia ini milik manusia.

*****                *****                *****                *****                *****

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-6-2024 12:00 PM GMT+8 , Processed in 0.099549 second(s), 38 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list