CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2242|Reply: 0

Rolling Stones bakal gegar Hyde Park

[Copy link]
Post time 9-4-2013 12:38 PM | Show all posts |Read mode
Wajah berkedut mereka kini hanya satu gambaran me­nunjukkan bagaimana masa sudah berlalu.


Ketika kali terakhir Rolling Stones membuat persembahan di Hyde Park pada zaman kegemilangan mereka pada tahun 60-an, ia adalah era keamanan dan cinta.





Mereka menghiburkan penonton dianggar hingga seramai 500,000 orang dalam konsert percuma sebagai memperingati pemergian gitaris Brian Jones.



Kini, 44 tahun kemudian, Rolling Stones akan muncul di Hyde Park sekali lagi sebagaimana diumumkan semalam. Tetapi kali ini, peminat perlu membeli tiket dengan harga termurah 95 pound (RM444) dan tempat duduk VIP pula tiga kali lebih ba­nyak.

Dunia korporat hari ini menyaksikan acara di te­ngah London itu ditaja oleh Barclaycard dan peraturan kesihatan serta keselamatan bermakna penonton terhad kepada 65,000 orang saja.

Persembahan pada 6 Julai depan itu adalah sebahagian beberapa siri acara 10 hari di taman berkenaan bergelar Temasya Musim Panas Britain. Ia berlangsung kurang daripada seminggu selepas Rolling Stones membuat persembahan di  Glastonbury buat kali pertama sepanjang 51 tahun karier mereka. Presiden penganjuran AEG Live, Rob Hallet berkata: “Ia akan menjadi persembahan terbesar musim panas di London.

“Rolling Stones adalah institusi sejati Britain dan semangat sebenar rock n roll. Kemunculan semula mereka di Hyde Park adalah acara penting.”

Pada 5 Julai 1969, Rolling Stones membuat persembahan hanya dua hari selepas gitaris mereka Jones ditemui lemas dalam kolam renang di kediamannya di Sussex.

Penyanyi Mick Jagger memakai pakaian labuh serba putih sebagai menghormati Jones yang dipecat sebulan sebelum itu dan digantikan oleh Mick Taylor.

Pada satu ketika, Jagger yang turut memakai kolar anjing meminta penonton ‘senyap beberapa detik’ sewaktu dia membacakan puisi Adonais tulisan Shelley sebagai memperi­ngati Jones: ‘Damai, damai! Dia tidak mati, dia tidak tidur.’ Roadies melepaskan 2,000 ekor rama-rama walaupun banyak yang telah mati kerana sesak nafas.

Hyde Park 1969, sebagaimana konsert itu digelar menjadi satu daripada per­sembahan Rolling Stones paling memilukan.

Jagger kini Sir Mick yang bakal mencecah usia 70 tahun, tiga minggu selepas konsert tahun ini berkata: “Hyde Park mengabadikan kenangan paling indah buat kami dan kami tidak rasa ada tempat lain lebih baik untuk membuat persembahan buat peminat kami di Britain pada musim panas ini.”

Mengingati kembali persembahan 1969, gitaris Keith Richards, 69, berkata, ia bagaikan baru semalam berlangsung tetapi mengakui: “Ia adalah konsert paling pelik. Ia adalah konsert pertama yang menampilkan Mick Taylor dalam kumpulan kami dan kami baru kehilangan Jones.”

Dan walaupun Jagger serta Richards menyuarakan keseronokan dalam konsert musim panas ini, pemain dram Charlie Watts yang akan berusia 72 tahun pada waktu itu - enggan tampil dalam konsert itu.

Dalam satu wawancara yang diterbitkan The Guardian, dia berkata: “Saya tidak mahu muncul dalam konsert di Glastonbury. Saya tidak suka membuat per­sembahan di tempat terbuka dan saya tidak gemarkan festival. Perkara paling buruk tampil di tempat terbuka ialah sewaktu angin bertiup...kerana simbal turut bergerak.”
  
Sementara itu, Rolling Stones muncul semula di pentas akhir tahun lalu selepas lima tahun tidak membuat konsert bagi meraikan ulang tahun mereka yang ke-50. Mereka membuat lima persembahan di United Kingdom dan Amerika Syarikat, termasuk dua di Arena O2 London.

Jagger berkata: “Kami cukup seronok membuat persembahan dalam lima konsert tahun lalu, kami mahu ia diteruskan!”

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-10-2024 10:45 AM GMT+8 , Processed in 0.061800 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list