New Delhi: Tertuduh utama dalam kes rogol beramai-ramai membabitkan seorang mahasiswa dalam sebuah bas Disember lalu ditemui mati dalam sel penjara semalam, mencetuskan kemarahan daripada keluarga mangsa. Kakitangan di Penjara Tihar di pinggir ibu negara India itu berkata, Ram Singh menggantung diri menggunakan bajunya.
Namun, keluarga Ram mendakwa, tidak mungkin pemandu bas itu membunuh diri dan pernah memberitahu, nyawanya dalam bahaya.
Peguam Ram pula berkata, kematian itu sepatutnya disiasat sebagai kes bunuh. Ram, 30-an, adalah seorang daripada enam tertuduh yang dibicarakan atas kesalahan merogol dan membunuh seorang mahasiswa berusia 23 tahun yang mencetuskan kemarahan besar-besaran seluruh India.
Dia ditemui mati dalam sel tahanannya jam 5.15 pagi.
Pegawai undang-undang penjara, Sunil Gupta berkata, Ram mengikat semua pakaiannya dan menggunakan palang di siling serta bangku kayu menggantung dirinya.
“Majistret memulakan siasatan untuk mengetahui jika berlaku kecuaian di sebalik kematian lelaki terbabit,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa rogol itu berkata, jelas pihak berkuasa cuai dalam tugas mereka. “Kita tidak faham bagaimana polis gagal melindungi Ram.
“Pihak berkuasa tahu dia adalah suspek utama dalam kes anak saya. Bagaimana mereka membiarkan suspek terbabit memilih cara untuk mati?” katanya.
Disebabkan kegagalan polis itu, katanya, dia tertanya-tanya bagaimana nasib kes berkenaan. Ram sering hadir di mahkamah untuk menjalani perbicaraan atas tuduhan membunuh, merogol dan menculik. Empat lelaki lain dituduh melakukan rogol berkumpulan dan berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Suspek keenam ialah remaja berusia 17 tahun yang dibicarakan di mahkamah juvana dan berdepan hukuman maksimum penjara tiga tahun. - AFP
|