New York: Seorang lelaki, Matthew Matagrano, 36, semalam berdepan pertuduhan di Manhattan atas dakwaan menyamar sebagai penyiasat Jabatan Perisikan.
Pihak berkuasa berkata, Matagrano menyamar sekurang-kurangnya seminggu untuk memasuki beberapa lokap di bandar raya ini termasuk pusat tahanan Pulau Rikers dan Manhattan dan bergaul dengan tahanan selama berjam-jam.
Polis berkata, Matagrano mengakui tiba di penjara Manhattan pada jam 3.30 petang dan masuk ke dalam pusat tahanan itu dengan mengakui dia penyiasat dari Jabatan Pperisikan.
Menurut laporan, dia berada di situ hingga jam 11 malam, memberikan rokok kepada tahanan dan merokok bersama mereka.
Dia turut dituduh mencuri radio dari sebuah pejabat ketika berada dalam penjara itu.
Tidak dapat dipastikan sama ada atau bila Matagrano akan berdepan pertuduhan sama iaitu memasuki penjara lain di bandar raya ini.
Matagrano juga dikatakan mempunyai rekod jenayah termasuk tuduhan liwat dan penderaan seksual. Namanya tersenarai dalam pendaftaran senarai penyerang seksual di New York.
Pihak berkuasa masih belum mengetahui alasan dia mahu ke penjara, tetapi sebelum ini dia pernah ditangkap kerana menyamar sebagai pekerja Lembaga Pendidikan yang mengunjungi dua sekolah dan memeriksa fail pelajar.
Hakim menetapkan ikat jamin AS$50,000 (RM 154,660) terhadap Matagrano.
Dia turut berdepan tuduhan pecah masuk, memilik peralatan palsu, kecurian dan menggalakkan penyeludupan barang larangan ke dalam penjara. Dia dijangka tampil di mahkamah Rabu ini. - AFP Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04
|