|
Kuala Lumpur: Walaupun memiliki ilmu seni mempertahankan diri, seorang jurulatih wushu tidak terkecuali menjadi mangsa ragut ketika jalan berseorangan di Desa Aman Puri, Selayang, semalam.
Dalam kejadian pada 11.30 pagi, jurulatih berusia 32 tahun itu dikatakan didatangi tiga lelaki yang menaiki dua motosikal jenis Yamaha RXZ.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata seorang daripada suspek menarik rantai leher yang dipakai mangsa dan berlaku pergelutan antara mereka.
Katanya, dua lagi rakan suspek datang dengan membawa parang bertindak menetak mangsa.
“Mangsa cedera kepala, bahu kiri, mata dan kedua-dua tangan akibat tetakan itu namun masih cuba melawan.
“Orang ramai yang berada berdekatan bergegas memberi bantuan kepada mangsa dan menyebabkan salah seorang suspek rebah dalam pergelutan itu.
“Dua rakannya berjaya melarikan diri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Abdul Rahim berkata, dalam keadaan kelam-kabut untuk menyelamatkan diri, kedua-dua suspek lari meninggalkan motosikal yang dinaiki mereka.
“Dengan bantuan orang ramai, polis berjaya menahan salah seorang suspek yang rebah ketika bergelut dengan orang ramai itu.
“Suspek berusia 25 tahun itu kini ditahan untuk siasatan lanjut kes berkenaan,” katanya.
|
|