PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) merupakan kementerian yang menerima aduan paling tinggi iaitu sebanyak 1,356 atau 16 peratus daripada 8,321 aduan yang diterima semua kementerian tahun lepas, menurut Laporan Tahunan Biro Pengaduan Awam (BPA) 2011. Aduan tersebut tertumpu kepada tiga agensi utama di bawah KDN iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Antara aduan itu berkisar terhadap kelewatan PDRM mengambil tindakan atau memberi maklum balas status siasatan terhadap pelapor, PDRM lewat membekalkan dokumen berkaitan kemalangan dan kelewatan mendapat maklum balas atau ketiadaan maklum balas terhadap permohonan kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan. Selain itu, kualiti layanan petugas di kaunter dan telefon yang kurang memuaskan, kekurangan pemantauan pekerja asing, permohonan kawalan trafik serta pengadu yang tidak berpuas hati terhadap saman kesalahan trafik yang tidak dilakukan turut menjadi isu utama aduan. Bagaimanapun, kesemua aduan tersebut berjaya diselesaikan, menurut laporan itu yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G. Palanivel di sini hari ini. Laporan itu menyebut BPA menerima sejumlah 13,356 aduan sepanjang tahun lepas dengan 97.7 peratus atau 13,045 aduan berjaya diselesaikan. Daripada jumlah itu, 8,321 aduan adalah terhadap kementerian manakala baki 5,035 terhadap kerajaan negeri. Menurut laporan itu, Kementerian Kerja Raya menerima jumlah aduan kedua tertinggi dengan 818 aduan yang mana 786 atau 96.1 peratus berjaya diselesaikan. Isu-isu utama terhadap kementerian itu termasuklah aduan kelewatan membaiki kerosakan jalan raya, lampu jalan, lampu isyarat serta papan tanda jalan selain permohonan mendapatkan atau menaik taraf kemudahan infrastuktur seperti papan tanda, lampu jalan, lampu isyarat, melebarkan dan menurap jalan. Aduan berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas parit dan kerja-kerja pemotongan rumput di bahu jalan yang tidak memuaskan turut diterima, menurut laporan itu. Menurut laporan itu, lima agensi yang menerima aduan tertinggi sepanjang tahun lepas adalah PDRM (841 aduan, 100 peratus diselesaikan), Jabatan Kerja Raya (759 aduan, 96.7 peratus diselesaikan), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (571 aduan, 92.8 peratus diselesaikan), Jabatan Pelajaran Negeri (305 aduan, 99.3 peratus diselesaikan) dan Tenaga Nasional Berhad (293 aduan, 98.3 peratus diselesaikan). Daripada 5,035 aduan terhadap kerajaan negeri, Selangor mencatat jumlah tertinggi dengan 950 aduan dan 85.5 peratus diselesaikan, diikuti Johor sebanyak (628), Sarawak (520) dan Pahang (519), ketiga-tiganya telah diselesaikan sepenuhnya. Pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menerima aduan tertinggi adalah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan 246 aduan (100 peratus diselesaikan), diikuti Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) 174 aduan (78.2 peratus diselesaikan). Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 142 aduan, Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) 138 aduan dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) 112 aduan, dengan ketiga-tiga PBT itu telah menyelesaikan sepenuhnya aduan yang diterima. Menurut laporan itu juga, daripada 13,045 aduan yang diselesaikan tahun lepas, 7,465 atau 57.2 peratus diselesaikan dalam tempoh 15 hari bekerja manakala baki 5,581 aduan diselesaikan melebihi 15 hari dan hanya 772 aduan diselesaikan melebihi 60 hari. - Bernama
|