|
Bintang KL Gangster 2 terjatuh ketika jayakan babak aksiBINTANG utama filem KL Gangster 2, Aaron Aziz, mengalami kecederaan di pinggang akibat terjatuh ke atas sebuah kereta yang sedang bergerak. Kejadian berkenaan berlaku ketika aktor popular terbabit menjayakan babak aksi bersama pelakon Rosyam Nor.\n\n\n\n Akibat kecederaan berkenaan, Aaron dimasukkan ke Pusat Perubatan Tropicana (TMC).\n\n\n\n\n Aaron yang dihubungi Hip semalam mengakui, kecederaan yang dialami tidak mengganggu produksi untuk meneruskan penggambaran filem arahan Syamsul Yusof itu.“Sebelum melakukan aksi terbabit, memang saya ada mengambil langkah keselamatan dengan memakai pelapik kaki dan tangan kerana tahu aksi itu berbahaya. Saya pula berkeyakinan dapat melakukan babak lasak berkenaan, malangnya nasib kurang menyebelahi saya ketika itu.\"Sebenarnya kecederaan itu tidaklah serius, namun saya tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan ujian imbasan x-ray.“Alhamdulillah doktor mengesahkan memang tiada tulang yang retak, cuma bengkak pada bahagian belakang pinggang selepas ujian imbasan dilakukan,” kata bintang kelahiran Singapura ini.\n\n\nMenceritakan detik mendebarkan itu, Aaron mengakui kecederaan yang dialami disebabkan kebodohan dirinya sendiri yang berani mengambil risiko untuk melakukan aksi berbahaya bagi memberi impak yang lebih kepada lakonannya.“Ketika kejadian, saya sedang berlawan dengan Rosyam dan aksi itu memerlukan saya terjatuh di atas sebuah kereta yang sedang bergerak. Sewaktu jatuh, kereta itu pula sedang bergerak dengan kelajuan 45 kilometer sejam dan saya terus terhempas di jalan.“Sebenarnya filem ini memang banyak memerlukan saya melakukan aksi berbahaya seperti berlawan. Setiap hari, selepas pulang daripada penggambaran badan saya pasti sakit-sakit. Ia sudah menjadi perkara biasa. \"Selepas kejadian itu kelmarin, saya masih berkeadaan baik untuk kembali beraksi semalam dengan melakukan aksi berlawan bersama Rosyam. Namun, pada sebelah malamnya, kesakitan dirasa semakin kuat sehingga saya tidak dapat tidur sampai pagi. “Memang saya risau kerana sepanjang terbabit di dalam bidang lakonan, saya tidak pernah mengalami masalah seperti ini dan mengambil keputusan untuk terus merujuk ke hospital berdekatan dengan rumah,” katanya.Sepanjang berada di pusat rawatan itu, dia turut dikunjungi penerbit filem berkenaan, Datuk Yusof Haslam, pelakon Fizz Fairuz dan Khairul Anuar Salleh.Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz bagaimanapun tetap berasa bangga apabila dipilih sebagai seorang daripada bintang utama filem susulan itu. Filem pertama, KL Gangster, yang turut dilakonkan olehnya pada tahun lalu muncul judul paling berjaya dalam sejarah perfileman tanah air dengan pungutan kasar RM11.7 juta.“Saya menjalani penggambaran filem ini selama lebih 50 hari dan hanya tinggal beberapa hari saja lagi babak saya akan habis. Hari ini (semalam) ialah hari terakhir untuk babak membabitkan saya, dan kebetulan hari ini juga saya sudah boleh keluar daripada hospital, jadi saya akan terus menjalani penggambaran. “Esok pula saya akan ke Jepun kerana ada urusan lain. Saya akan kembali menyambung penggambaran selama lima hari lagi selepas pulang nanti,\" katanya yang mengharapkan penonton akan berpuas hati dengan persembahannya dalam filem itu nanti.Selain Aaron (Malek) dan Rosyam (Don), filem ini turut dibintangi Zizan sebagai Fadil, Adi Putra (Jai), Ridzuan Hashim (King), Soffi Jikan (Ajib), Sheera Iskandar (Zati), Ku Faridah (ibu Malek, Jai dan Zati) dan Adam Corrie.Filem yang menjalani penggambaran bermula 1 Disember tahun lalu memilih beberapa lokasi menarik seperti sekitar Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Batu Gajah, Perak sebagai lokasi.Ia mengisahkan dua beradik iaitu Malek dan Jai terjebak dalam dunia samseng setelah kematian bapa mereka 10 tahun lalu. Sejak kematian si bapa, kehidupan mereka sekeluarga dalam serba kesusahan dan mereka juga sering ketakutan gara-gara ugutan daripada kumpulan gangster yang menagih hutang ayah mereka.Disebabkan kesempitan wang, Jai menjadi semakin liar hingga sanggup melakukan apa saja bagi mengubah nasib hidupnya walaupun mendapat tentangan hebat daripada keluarganya. Malek semakin buntu memikirkan masalah yang dihadapi, lebih-lebih lagi apabila laporan doktor mengesahkan ibu mereka mengidap penyakit barah. Keadaan bertambah perit apabila adiknya, Zati diperkosa.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|