|
Saham tempatan tak terjejas krisis hutang Eropah\rPERMOHONAN bagi penyenaraian di Bursa Malaysia kekal kukuh di sebalik keadaan pasaran yang tidak menentu susulan kebimbangan krisis hutang di Eropah dan pertumbuhan perlahan ekonomi Amerika Syarikat ketika ini.\r\n\n\n\n\r Ketua Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Tajuddin Atan berkata, bagi tahun ini saja, 27 syarikat sudah disenaraikan di pasaran saham tempatan itu dengan jumlah dana yang diraih ialah sebanyak RM6 bilion.\r\r\n\n\n\n\n Beliau berkata, ini menjadikan bilangan syarikat yang disenaraikan di bursa saham tempatan itu setakat ini kepada 946.\r“Terdapat banyak lagi permohonan daripada syarikat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia yang masih dalam proses kelulusan. Jumlah permohonan yang diluluskan juga meningkat dan syarikat berkenaan kini menunggu masa sesuai untuk disenaraikan,” katanya.\rBeliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran buku “Panduan Praktikal untuk Penyenaraian di Bursa Malaysia” dan pembukaan Seminar Bursa Malaysia IPO 2011 di Kuala Lumpur semalam.\rPelancaran buku dan pembukaan seminar itu disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Hadir sama, Pengerusi Bursa Malaysia, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, Pengerusi MIBA, Tan Sri Azman Hashim dan Ketua Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim.\r\n\n\n\n\rTajuddin berkata, pihaknya terus aktif menarik lebih banyak syarikat bermutu tinggi untuk menyenaraikan saham mereka di Bursa Malaysia dengan mengadakan pertemuan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat bermodal kecil yang berpotensi.\r“Kami akan meningkatkan bilangan syarikat bermutu tinggi di bursa saham tempatan supaya pelabur mempunyai lebih banyak pilihan pelaburan dalam mendapatkan pulangan pelaburan yang menarik,” katanya.\rMengenai buku “Panduan Praktikal untuk Penyenaraian di Bursa Malaysia” itu, Tajuddin berkata, buku yang dihasilkan dengan kerjasama Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA) itu bertujuan membantu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjadi syarikat senaraian awam.\rBeliau berkata, buku berkenaan menyediakan panduan menyeluruh mengenai langkah yang perlu dilakukan syarikat PKS untuk disenaraikan di Bursa Malaysia serta jangkaan yang bakal mereka hadapi apabila menjadi sebuah syarikat senaraian awam.\rSementara itu, Hafsah berkata SME Corp menyasarkan 15 peratus daripada lebih 500 syarikat PKS yang menerima Anugerah Entrerprise 50 untuk menjadi syarikat senaraian awam menjelang 2015.\rBeliau berkata, setakat ini 56 syarikat atau 10 peratus daripada penerima anugerah itu sudah disenaraikan di Bursa Malaysia.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|