|
Segala-galanya untuk AleesyaSUDAH menjadi kebiasaan pula, setiap kali Ramadan, golongan artis dengan tidak semena-mena mengambil ‘cuti panjang’ atas alasan mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadah.\n\n\n\nBukan bermakna soal ibadah dipandang ringan pada hari lain, cuma kesibukan di lokasi penggambaran kadang kala membawa ke malam membuatkan ramai memilih untuk berehat seketika. \n\n\n\n\nDalam tempoh sebulan itu, selain berpeluang memperuntukkan masa berkualiti dengan keluarga dan berpuasa yang dilengkapi solat tarawih, ada sebilangan selebriti mengambil kesempatan menjalankan perniagaan dari rumah.Erra Fazira, antara mereka yang mengusahakan perniagaan bermusim yang disifatkan sebagai peluang menambah pendapatan, sekali gus pendedahan awal untuk lebih serius dalam bidang serba mencabar itu pada masa depan.Memilih perniagaan hamper raya sejak beberapa tahun lalu menggunakan jenama Eea’s Hamper, akuinya sebelum puasa lagi dia sudah menerima tempahan daripada pelanggan tetap terutama rakan rapat.“Kebiasaannya saya mengehadkan jumlah tempahan supaya tidak terkejar-kejar. Memang ada pembantu malah, hasil gabungan idea semua, kami pastikan kualiti gubahan produk kami sentiasa mengikut peredaran semasa.\n\n\n\n“Sambutannya agak memberangsangkan kerana pelanggan sudah mengenali jenama bungkusan hari raya buatan tangan kami. Bukan saja orang perseorangan, korporat juga membuat tempahan,” katanya pelakon berusia 37 tahun ini.Begitupun, Erra menjelaskan, belum ada perancangan untuk menjadikan perkhidmatan menyediakan hamper raya sebagai perniagaan yang serius kerana tumpuannya ketika ini masih terhadap kerjaya seni dan keluarga.Cuma buat masa ini dia mahu belajar dulu selok- belok perniagaan sebelum melebarkan jenama Eea’s Hamper kepada pelanggan yang tidak hanya menyediakan hamper musim Syawal, sebaliknya perayaan lain dan sambutan lain.Dedah ibu kepada Engku Aleesya, 2, itu lagi, kebetulan sepanjang Ramadan ini dapat bercuti sepenuhnya apabila penggambaran yang sepatutnya berlangsung pada tempoh berkenaan ditunda ke tarikh lain.Apa pun, masa yang ada bakal dimanfaatkan untuk perkara lain terutama menyediakan keperluan untuk perniagaannya serta melayani keletah si kecil yang semakin lasak dan mula belajar bercakap.Biar masih terlalu awal, persediaan untuk hari raya terutama baju kurung buat si kecil serta suami tercinta, Engku Emran dilakukan lebih awal supaya tidak berebut dengan orang lain.“Saya dan suami hanya bersederhana, cukup dua pasang baju kurung dan baju Melayu, tetapi paling seronok sudah pasti melihat Aleesya semakin membesar dan sudah pandai berjalan.“Apabila tengok gaun comel, mulalah saya geram, malah tahun ini saya mahu mendapatkan beberapa pasang baju kurung untuk Aleesya gayakan pada 1 Syawal nanti,” ucapnya.Rancak bercerita soal perniagaan dan keluarga, persoalan beralih pula mengenai perancangan merealisasikan album baru yang sudah tertangguh lama walau sebelum ini beberapa lagu sudah dirakamkan sejak beberapa tahun lalu. Rancang berduet dengan SalmaBIAR berdiri di landasan kukuh sebagai aktres terkenal, jauh di sudut hati pemilik nama Fazira Wan Chek, itu masih membuak rasa cinta terhadap nyanyian membuatkannya tidak pernah berhenti berharap.Penyanyi lagu lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu tidak mampu menyembunyikan rasa terkilan apabila gagal menghasilkan album ketika bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Record (SRC) tidak lama dulu.“Kontrak dengan SRC sudah tamat, tetapi saya sempat merakamkan lima lagu. Saya memang berharap dapat tampil dengan lagu baru, cuma barang kali rezeki belum tiba.“Kalau boleh biarlah dapat lagu yang mampu meninggalkan impak kepada pendengar. Lagu sedia ada sudah bagus, tetapi saya sendiri belum dapat seperti yang dicari membuatkan saya masih sabar menunggu,” katanya yang tetap rancak memenuhi undangan menghiburkan tetamu pada majlis korporat.Erra juga tidak menolak untuk berpadu suara dengan protegenya, Salma sekiranya mendapat tawaran malah menganggap juara Mentor musim lima itu mampu bergerak lebih jauh bersandarkan bakatnya.Bagaimanapun, projek baru paduan suara antaranya dengan Sohaimi Mior Hassan berjudul Dalam Rumah Tangga dianggap pengubat kerinduan terhadap single baru dan istimewanya, melodi serta mood nyanyian lebih seperti gandingan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Puan Seri Saloma.Beralih kepada dunia lakonan, selain sibuk dengan latihan pementasan Badai Semalam yang bakal berlabuh di Istana Budaya bermula 11 November ini, bintang yang digilap menerusi filem sembilu itu juga bakal terbabit dengan sebuah filem yang menyaksikannya membawakan watak pembunuh upahan.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|