SANDAKAN: Lapan individu termasuk kanak-kanak dan seorang warga emas dipindahkan anggota bomba selepas terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Batu 12, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menerima panggilan kecemasan memaklumkan berlaku kenaikan paras air di Lot 56, Peringkat 1, Batu 12.
Ketua Balai BBP Sandakan, Jimmy Lagung berkata, sepasukan tujuh anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada jam 8.32 pagi, komander operasi mengesahkan berlaku banjir kilat dan seramai lapan mangsa dilaporkan terperangkap akibat kenaikan paras air.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemindahan menggunakan bot penyelamat sebelum semua mangsa berjaya dipindahkan ke rumah ahli keluarga terdekat di kawasan tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang dipindahkan membabitkan tiga wanita dewasa, dua kanak-kanak perempuan, dua kanak-kanak lelaki serta seorang warga emas wanita.
“Operasi ditamatkan pada jam 9 pagi selepas keadaan didapati terkawal dan tiada bahaya lain dikesan,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan awal pagi tadi, BBP Sandakan turut menerima panggilan kecemasan pada jam 4.52 pagi berhubung kejadian banjir di Taman Merpati Batu 7.
Jimmy berkata, lapan anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi sejauh 10 kilometer dan tiba pada jam 5.03 pagi.
Menurutnya, pasukan menjalankan pemantauan dan mendapati paras air dalam keadaan terkawal serta tiada mangsa terlibat.
“Tiada operasi pemindahan dijalankan, namun bomba menasihatkan penduduk supaya bersedia berpindah lebih awal ke kawasan selamat sekiranya paras air meningkat.
“Operasi di lokasi itu ditamatkan pada jam 5.43 pagi selepas keadaan disahkan selamat,” katanya.