Lelaki ditahan bersama 30kg dadah bernilai RM2.1 juta
Nur Izzati Mohamad - Februari 11, 2026 @ 9:30pm

Sebahagian rampasan pelbagai jenis dadah. - Foto ihsan polis
BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang menumpaskan kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah selepas menahan lelaki tempatan bersama hampir 30 kilogram (kg) dadah yang dianggarkan bernilai RM2.185 juta dalam serbuan di tempat letak kereta kondominium, di sini, petang semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail, berkata serbuan jam 4.25 petang itu dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik.
"Dalam serbuan ini, pihak polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang berada dalam sebuah kereta di kawasan parkir kenderaan sebuah kondominium.
"Berpandukan arah oleh tangkapan, anggota polis dibawa ke sebuah premis berhampiran yang pemeriksaan lanjut menemui tiga beg kanvas yang didalamnya mengandungi hampir 1,000 peket plastik mengandungi dadah disyaki jenis MDMA, syabu dan pil ekstasi termasuk tiga unit tong putih dan empat unit botol plastik berpenutup mengandungi cecair disyaki syabu.
"Turut dijumpai di lokasi serbuan adalah peralatan dan perkakasan memproses vape yang kesemuanya dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azizee berkata, hasil siasatan terhadap suspek juga dia mengaku ada menyimpan dadah di ruang khas dalam kenderaan miliknya.
"Susulan itu, pemeriksaan lanjut telah menemui 1,800 foil aluminium warna merah dan perak berikat getah yang setiap satu foil terdapat 10 biji pil disyaki erimin 5 serta satu bungkusan plastik mengandungi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis ketamin.
"Kesemua dadah yang dirampas dalam operasi ini adalah 19,702.6 gram (g) syabu, 3,700.3g (serbuk MDMA), 5,181.8g (pil ekstasi) dan 980.5g (ketamin) bernilai RM2.185 juta yang mana jumlah rampasan dadah ini boleh digunakan kira-kira 100,000 orang penagih," katanya.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah itu bergiat aktif sejak Oktober tahun lalu dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif tiga jenis dadah, selain semakan mendapati dia mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/02/1508469/lelaki-ditahan-bersama-30kg-dadah-bernilai-rm21-juta
|