
SIDANG MEDIA: Kasim semasa sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu di sini.
KOTA KINABALU: Daerah ini kekal sebagai penyumbang tertinggi jenayah komersial di Sabah sepanjang 2025 dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM119.8 juta.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu membuka 1,347 kertas siasatan bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, meningkat berbanding 1,091 kes pada 2024.
Menurutnya, peningkatan itu membabitkan pertambahan 256 kes, manakala nilai kerugian naik hampir RM24 juta berbanding RM95 juta pada tahun sebelumnya. “Sebahagian besar kes berpunca daripada penipuan atas talian yang terus menjadi ancaman utama kepada masyarakat.
“Daripada 1,347 kes direkodkan, sebanyak 959 kes membabitkan penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian RM63.2 juta.
“Kes pelaburan tidak wujud mencatat kerugian tertinggi sekitar RM29 juta, diikuti phone scam sebanyak 258 kes, penipuan belian dalam talian 213 kes serta tawaran kerja sambilan palsu 72 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu di sini.
Katanya, sindiket menggunakan pelbagai helah termasuk tawaran pulangan segera, penyamaran sebagai pegawai pihak berkuasa serta iklan pekerjaan palsu di media sosial.
Bercakap tentang perkembangan semasa, Kasim berkata bagi tempoh 1 hingga 31 Januari 2026, sebanyak 144 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian RM10.5 juta.
“Daripada jumlah itu, 107 kes melibatkan penipuan atas talian dengan kerugian RM9.4 juta, sekali gus menunjukkan trend jenayah sama masih aktif pada awal tahun.
“Sehubungan itu, polis mempergiat risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan sindiket penipuan,” katanya.
Katanya, dalam satu serbuan terhadap premis calling centre, seramai 20 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.
“Serbuan berasingan turut membawa kepada penahanan tujuh warga tempatan yang dipercayai membeli kad ATM milik orang awam bagi dijadikan akaun keldai. “Kedua-dua kes sudah lengkap siasatan dan semua suspek dihadapkan ke Mahkamah Kota Kinabalu,” katanya.
Kasim turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyewakan akaun bank dengan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 kerana perbuatan itu satu kesalahan serius.
“Pemilik akaun boleh didakwa mengikut Seksyen 424A atau 424B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara minimum setahun.
“Dalam usaha membendung jenayah komersial, polis bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bank Negara Malaysia (BNM), institusi perbankan serta NationUtusan Borneoal Scam Response Centre (NSRC).
“Kerjasama itu bertujuan mempercepat proses pembekuan akaun dalam tempoh 48 jam selepas laporan dibuat bagi mengurangkan risiko kerugian mangsa,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan pihak polis atau bank sebelum membuat sebarang pelaburan atau menerima tawaran pekerjaan meragukan.
“Pencegahan awal mampu mengelakkan kerugian besar,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |