
MOHD FUAD
KOTA KINABALU: Empat pegawai awam sebuah badan berkanun Persekutuan bersama dua pekerja syarikat agensi pelancongan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung kes tuntutan palsu membabitkan pembelian tiket kapal terbang, pada Isnin.
Penahanan dibuat selepas siasatan awal mendapati wujud unsur pemalsuan butiran penerbangan dalam dokumen tuntutan perjalanan rasmi melibatkan jabatan berkenaan.
Menurut sumber, maklumat penerbangan yang dikemukakan dalam tuntutan dipercayai tidak selari dengan tempahan sebenar, manakala tiket asal tidak disediakan oleh syarikat agensi pelancongan kepada pegawai serta kakitangan jabatan.
Katanya, perbuatan itu dipercayai digunakan bagi membolehkan bayaran tuntutan diproses tanpa perjalanan sebenar dilakukan seperti yang dilaporkan.
“Nilai keseluruhan tuntutan palsu dianggarkan hampir RM1.3 juta, sekali gus melibatkan kerugian besar kepada dana awam,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan pekara itu dan memaklumkan penahanan membabitkan enam suspek terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun.
“Kesemua suspek ditahan sekitar jam 9.30 malam ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah bagi memberikan keterangan berhubung siasatan dijalankan.
“Tangkapan dibuat selepas pegawai penyiasat berpuas hati wujud asas kukuh bagi tindakan lanjut terhadap semua individu terbabit,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen palsu dengan niat mengelirukan pihak berkuasa.
Menurutnya, permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Selasa bagi membantu proses siasatan lanjut.
Katanya, siasatan kini memfokuskan kaedah tuntutan dibuat, penglibatan setiap individu serta aliran pembayaran yang diluluskan.
“SPRM tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan dibuat berdasarkan perkembangan bukti dan keterangan baharu.
“Orang ramai turut diingatkan supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang penyelewengan melibatkan dana atau peruntukan kerajaan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|