
Abang Johari melakukan perasmian LANDAS SUMMIT 2026 di sebuah hotel terkemuka di Bintulu hari ini.
BINTULU: Kerajaan Sarawak sememangnya amat komited dalam mempercepatkan proses penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi memastikannya terus kekal terpelihara serta memberi kepentingan kepada setiap pemiliknya, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, dalam menghadapi era pembangunan pesat dan perubahan global yang pantas, kerajaan berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks khususnya dalam menguruskan hal ehwal berkaitan tanah.
"Salah satu isu yang sentiasa menjadi perhatian ialah pengurusan tanah NCR yang mana isu ini bukan sahaja berkait dengan aspek perundangan, malah menyentuh soal identiti, warisan budaya dan kesejahteraan komuniti peribumi," ujarnya.
Abang Johari berkata demikian semasa berucap merasmikan Land and Survey (LANDAS) SUMMIT 2026 di di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak sentiasa komited untuk mempercepatkan proses pengukuran, memperkukuh sistem dokumentasi, meningkatkan ketelusan serta memastikan setiap pertikaian dapat diselesaikan secara adil dan berhemah.
"Pada masa sama, pendekatan kita mestilah seimbang antara keperluan pembangunan dan keadilan sosial yang mana pembangunan yang sebenar ialah pembangunan yang tidak meminggirkan rakyat dan tidak mengorbankan warisan nenek moyang," tegasnya.
Selain itu katanya, proses urbanisasi yang pesat turut memberi tekanan kepada sistem pengurusan tanah khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Beliau berkata, permintaan terhadap perumahan, kemudahan awam dan kawasan komersial semakin meningkat, selain kenaikan harga tanah serta tekanan terhadap alam sekitar.
"Dalam konteks ini, perancangan guna tanah yang sistematik, bersepadu dan berpaksikan kelestarian amat penting," jelasnya.
Jelasnya, kerajaan tidak boleh membangunkan bandar tanpa mengambil kira aspek kesejahteraan rakyat, keselamatan, keselesaan dan kelestarian alam sekitar.
Ini kerana tegasnya, bandar pintar hanya boleh diwujudkan melalui pengurusan tanah yang bijaksana dan berpandangan jauh tanpa megetepikan kehendak serta aspirasi rakyat.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada pihak pengurusan jabatan atas komitmen yang konsisten dalam penganjuran LANDAS SUMMIT serta usaha berterusan dalam memastikan program itu terus relevan dan memberi impak yang signifikan.
"Saya berharap pencapaian ini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang demi kecemerlangan perkhidmatan awam di Sarawak," tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo
|