
Mary (depan, empat kiri) bergambar bersama barisan jawatankuasa dan ahli Persatuan Bas Sekolah Bandar Raya Miri selepas mesyuarat mereka pada Sabtu.
MIRI: Pemandu van dan bas sekolah yang beroperasi di kawasan Senadin, Lutong dan Permyjaya menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya mengkaji semula struktur tambang di bawah program bas sekolah percuma berikutan tekanan kewangan yang semakin meningkat.
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Bandar Raya Miri Mary Akir berkata, ahli persatuan itu masih menerima bayaran sebanyak RM0.41 sekilometer daripada Yayasan Sarawak, dengan jarak perjalanan dikira berdasarkan ukuran titik ke titik yang pendek sebagaimana ditentukan oleh pihak sekolah.
Menurutnya, terdapat laluan yang dikira hanya 1.77 kilometer bagi perjalanan pergi dan balik, dan apabila didarab dengan kadar semasa bagi tempoh 20 hari persekolahan, jumlah bayaran yang diterima hanyalah sekitar RM29 sebulan.
“Akibatnya, bayaran bulanan yang diterima oleh pemandu amat rendah dan tidak sepadan dengan kos operasi sebenar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ahli persatuan di Dewan Serba Guna Kampung Pengkalan Lutong, di sini, pada Sabtu.
Mary berkata, persatuan yang mempunyai 52 ahli itu memaklumkan bahawa struktur tambang berdasarkan ukuran titik ke titik telah dilaksanakan sejak Mac tahun lalu.
Katanya, kadar bayaran sedia ada gagal mencerminkan kos operasi sebenar yang terus meningkat, termasuk kos diesel yang mencecah kira-kira RM100 sehari, kos penyelenggaraan kenderaan setiap tiga bulan serta pemeriksaan mandatori PUSPAKOM setiap enam bulan.
Beliau menambah, sebelum ini para pemandu sanggup menanggung pelbagai kos tambahan demi membantu ibu bapa daripada golongan kurang berkemampuan, namun kini mereka merasakan kebajikan dan keperluan mereka kurang diberi perhatian, khususnya apabila beban kewangan terus bertambah.
Sumber : Utusan Borneo
|