
Fatimah ketika ditemui pemberita hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) Sarawak memfokuskan kepada usaha memastikan remaja yang pernah hamil dibawah umur untuk kembali ke sekolah dan menamatkan pendidikan sekurang-kurangnya sehingga tingkatan lima.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata keutamaan itu selari dengan matlamat penubuhan OSTPC sejak 2014 yang bertujuan mengurangkan kadar kehamilan remaja dalam kalangan golongan bawah umur 19 tahun di negeri ini.
“Apabila remaja hamil, kebanyakannya akan berhenti sekolah. Walaupun ada peluang untuk kembali belajar selepas melahirkan anak, realitinya sangat sedikit yang benar-benar kembali ke sekolah. Ini amat sukar, sebab itu pencegahan menjadi keutamaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) Bil. 1/2026 yang diadakan di Bilik Persidangan, Wisma Wanita di sini hari ini.
Menurut beliau yang juga Pengerusi OSTPC Sarawak, pendidikan merupakan faktor utama yang menentukan masa depan seseorang remaja.
Ini kerana tambahnya, kajian telah membuktikan bahawa semakin tinggi tahap pendidikan seseorang, semakin besar peluang untuk memiliki masa depan yang lebih baik.
"Sebab itu kita mahu anak-anak kita, terutama remaja perempuan, terus berada dalam sistem pendidikan,” jelasnya.
OSTPC telah menetapkan sasaran pengurangan 10 peratus kes kehamilan remaja setiap tahun sebagai KPI pihaknya dan pencapaian tahun 2025 membuktikan keberkesanan pendekatan tersebut apabila Sarawak mencatatkan penurunan kes sebanyak 11.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dedah beliau, trend kehamilan remaja walaupun pencapaian KPI penurunan kes remaja hamil menurun, beberapa trend memerlukan perhatian serius, ujarnya. Peningkatan kes di bahagian Sarikei dan Sibu, serta 11 daerah tertentu yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko.
11 daerah tersebut adalah Sibu (22), Telang Usang (12), Samarahan (7), Bukit Mabong (5), Belaga (5), Bau (4), Sarikei (3), Meradong (3), Limbang (2), Saratok (2) dan Sri Aman (1).
Sementara peningkatan peratusan remaja tidak berkahwin pula daripada 63.6 peratus pada 2024 kepada 70.2 peratus pada 2025 dan peningkatan peratusan remaja hamil tidak bersekolah daripada 94.6 peratus pada 2024 kepada 95 peratus pada 2025, menunjukkan isu ini berkait rapat dengan faktor sosial dan pendidikan.
Sebanyak 62.9 peratus kes berlaku dalam kalangan remaja berumur 18–19 tahun, iaitu fasa peralihan ke alam dewasa.
Dari sudut etnik, 51 peratus remaja hamil adalah daripada kalangan bangsa Iban, diikuti Melayu (22.6 peratus) dan Bidayuh (6.6 peratus).
“Remaja yang sudah hamil tetap perlu dibantu. Kita uruskan kesihatan mereka, kebajikan, sokongan psikososial serta masa depan anak yang dilahirkan.
"Matlamatnya adalah supaya mereka masih ada peluang membina kehidupan dan masa depan yang lebih baik,” ujarnya memberi penjelasan.
Pihak OSTPC dibantu dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Agama, PDRM, NGO serta agensi berkaitan lain bagi memastikan pengurusan kes dilakukan secara menyeluruh dan bersepadu.
Kerajaan negeri katanya, untuk tempoh jangka panjang akan terus memperkukuhkan program pencegahan melalui pelaksanaan Program Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS), Program Randau Pembangunan Sosial, pendidikan kesihatan reproduktif, serta modul advokasi komuniti yang memberi fokus kepada remaja berisiko dan remaja luar institusi sekolah.
Sumber : Utusan Borneo
|