Kediaman di Pong Manis terbakar, dua keluarga hilang tempat berteduh
Zuliaty Zulkiffli[email protected]

Dua rumah penduduk di Lorong Kampung Bukit, Pong Manis yang musnah dalam kebakaran. FOTO IHSAN BOMBA
Kuala Nerang: Dua keluarga di Lorong Kampung Bukit, Pong Manis di sini tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran hari ini.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 4.11 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Azizan Jusoh tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Operasi turut dibantu sepasukan BBP Pokok Sena. Setibanya di lokasi didapati kebakaran membabitkan dua rumah dan masing-masing 80 peratus dan 60 peratus terbakar.
"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. Punca dan kerugian masih dalam siasatan, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Aminudin berkata, api berjaya dikawal pada jam 4.47 petang dan operasi tamat sepenuhnya jam 6.51 petang.
Disiarkan pada: Februari 3, 2026 @ 1:05am
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/02/1318349/kediaman-di-pong-manis-terbakar-dua-keluarga-hilang-tempat-berteduh
|