
UGUT: Kedua-dua suspek bersama senjata tajam dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
TAWAU: Dua lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki mengugut seorang warga emas menggunakan senjata tajam dalam kejadian di di Kampung Pengkalan Asli, Merotai Besar, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam apabila kedua-dua suspek datang ke rumah mangsa sebelum bertindak mengamuk.
Katanya, suspek utama yang juga menantu mangsa dilihat memegang pedang samurai, manakala adik lelakinya membawa parang, selain mengugut mangsa sehingga menimbulkan ketakutan.
“Kejadian berpunca apabila isteri suspek utama yang juga anak perempuan mangsa ingin bermalam di rumah bapanya, namun perkara itu tidak dipersetujui suspek sebelum berlaku pertengkaran,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, mangsa berusia 63 tahun kemudian tampil membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan dan tindakan lanjut.
“Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 12.10 tengah malam di Kampung Merotai Besar,” katanya.
Jasmin berkata, suspek utama berusia 39 tahun bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan ugutan serta pecah masuk, manakala suspek kedua berusia 27 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan, keganasan atau tindakan menggunakan senjata yang boleh mengancam keselamatan orang awam.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menyelesaikan sebarang perselisihan melalui saluran undang-undang dan segera membuat laporan polis sekiranya berdepan situasi berbahaya,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|