Penang bawa bekalan tipis ke Sarawak
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Januari 18, 2026 @ 8:24pm

Pemain Penang FC, Faith Friday Obilor (tengah) cuba menjaringkan gol pada saingan Piala Malaysia menentang Kuching City FC di Stadium Bandaraya hari ini. - BERNAMA
GEORGETOWN: Penang FC meraih bekalan tipis selepas menewaskan Kuching City FC 1-0 pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bandaraya, petang tadi.
Penyerang baharu tuan rumah, Douglas Cautinho muncul wira pasukan apabila menanduk tinggi hantaran pemain tengah, Erick Brendon yang menerjah penjuru gawang mengejutkan Muhammad Haziq Nadzli pada minit ke-40.
Terdahulu, pada minit ke-25 Haziq melompat tinggi menumbuk bola sebelum terlanggar penyerang muda Penang, Alif Ikmalrizal bagaimanapun pengadil Faizudin Ismail memutuskan tiada sepakan penalti diberikan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Intensiti kedua-dua pasukan semakin memuncak memasuki babak kedua, namun perlawanan terhenti seketika pada minit ke-61 apabila Amirul Kamil Jaser terpaksa diusung keluar selepas mengalami kecederaan bahu akibat perlanggaran dengan penyerang pelawat, Ramadhan Saifullah ketika menggelecek bola.
Tiga minit kemudian, Wan Rohaimi Wan Ismail melakukan pertukaran serentak bagi menambah daya serangan dengan memasukkan penjaring terbanyak pasukan, Dylan Wenzel-Halls menggantikan Alif Ikmalrizal manakala Chia Ruo Han mengisi kekosongan ditinggalkan Amirul Kamil.
Pada saat genting, anak buah Aidil Sharin Sahak hampir menjaringkan gol saguhati pada minit ke-90, namun sepakan percuma pemain gantian, Joao Pedro da Silva Freitas sedikit tersasar ke sebelah kanan gawang.
Tambahan masa tiga minit menyaksikan Wenzel-Halls tenang menyumbat gol selepas melakukan larian solo melepasi halangan Jimmy Raymond tetapi malangnya kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama selepas semakan VAR mengesahkan dia berada dalam kedudukan ofsaid.
Keputusan kekal hingga wisel penamat dengan pertemuan timbal balik dijangka menjanjikan aksi sengit antara kedua-dua pasukan di Stadium Negeri Sarawak, Sabtu ini.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/01/1498374/penang-bawa-bekalan-tipis-ke-sarawak
|