Anak-anak juga sangat merinduimu... menangis teresak-esak, terpaksa dipujuk' - Suami Nadia Kesuma
Oleh BERNAMA - Januari 18, 2026 @ 9:38pm

Allahyarhamah Nadia Kesuma. - Foto ihsan Facebook Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah
GEORGETOWN: Suami kepada pelakon, Allahyarhamah Nadia Kesuma, kongsikan betapa anak-anak mereka sangat merindui arwah sehingga menangis teresak-esak dan terpaksa dipujuk.
Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah yang juga seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, dan bapa kepada tiga anak berusia 11 hingga 15 tahun, kongsikan perkara itu dalam hantaran melalui Facebook.
"Anak-anak juga sangat merinduimu, malah Deena menangis teresak-esak selepas menerima khabar pemergianmu, terpaksa pujuk Iqi kerana dia mahukanmu dan mahu ikut berjumpa denganmu," menurut hantaran itu.
Selain itu, beliau memaklumkan menerima ratusan mesej daripada rakan-rakan serta orang tidak dikenali susulan perkhabaran sedih kematian isterinya.
Dalam hantaran berkenaan, Muhammad Kamarul Kabilan, 57, turut mengimbau kenangan bersama Allahyarhamah Nadia Kesuma atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, selain meluahkan perasaan tidak sabar untuk menatap wajah arwah.
Ketika ini, beliau bersama anak perempuan sedang dalam perjalanan ke Jeddah, Arab Saudi, untuk menyelesaikan segala urusan berkaitan jenazah arwah di Hospital King Fahad, termasuk dokumentasi serta pengambilan barang-barang peribadi isterinya itu.
Sementara itu, seorang jiran arwah di Bertam, dekat sini, Syahrizal Ibrahim, 46, ketika ditemui melahirkan perasaan terkejut dengan berita pemergian pelakon berkenaan.
Syahrizal berkata, terdahulu penduduk di kawasan kejiranan itu mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat di Surau Al-Muttaqin, malam tadi, sebagai ikhtiar mendoakan Nadia Kesuma dapat ditemui semula dalam keadaan selamat.
Beliau berkata, arwah disifatkan sebagai seorang yang ceria serta rajin menyertai program dan kenduri diadakan penduduk di situ.
"Kami semua memang terkejut apabila dapat tahu pagi tadi bahawa Nadia sudah meninggal dunia.
"Saya sudah berjiran dengan keluarga arwah lebih lima tahun," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan berita kematian Nadia Kesuma disahkan oleh suaminya dalam hantaran melalui Facebook, pagi tadi.
Muhammad Kamarul Kabilan dipetik memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia pada jam 8.07 pagi Khamis lalu, iaitu hari pelakon itu dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di lapangan terbang Jeddah.
Nadia Kesuma menyertai pakej Umrah-London-Paris bawah sebuah agensi pelancongan, bersama 21 jemaah lain dengan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 1.48 pagi Selasa lalu.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1498384/anak-anak-juga-sangat-merinduimu-menangis-teresak-esak-terpaksa
|