'Pengebumian jenazah Nadia Kesuma dibuat esok pagi di Jeddah selepas urusan selesai' - Reezal Merican
Oleh Audrey Dermawan - Januari 18, 2026 @ 4:21pm

Reezal Merican (kiri) menemui Muhammad Kamarul di KLIA sebelum berlepas ke Jeddah, petang ini. Foto ihsan FB Reezal Merican
BUTTERWORTH: Jenazah pelakon, Allahyarham Nadia Kesuma dijangka dikebumikan di tanah perkuburan di Jeddah, Arab Saudi, pada pagi esok (waktu tempatan) selepas semua urusan mengenainya selesai dilakukan.
Perkara itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang dimaklumkan berhubung perkara itu hari ini.
"Saya dimaklumkan pengebumian Nadia Kesuma dijangka berlangsung esok pagi (waktu Jeddah, Arab Saudi) tertakluk kepada kelancaran semua urusan.
"Ini adalah saat yang amat perit buat keluarga.
Saya mendoakan mereka dikurniakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian besar ini," katanya dalam Facebooknya, selepas bertemu suami Allahyarham, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah bersama anak mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyampaikan ucapan simpati dan sokongan secara peribadi, petang ini.
Muhammad Kamarul dan anaknya berlepas ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah dan dijangka terus ke Hospital King Fahad hari ini bagi menguruskan perkara berkaitan jenazah isterinya itu, termasuk urusan dokumentasi serta pengambilan barangan peribadi.
Nadia Kesuma yang dilaporkan hilang pada Khamis lalu selepas transit di Lapangan Terbang Jeddah sebelum meneruskan penerbangan ke London, disahkan meninggal dunia di Jeddah akibat sakit jantung pada hari dia dilaporkan hilang itu.
Reezal Merican turut meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham dan ditempatkan bersama golongan beriman.
"Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh serta mengurniakan keampunan dan rahmat-Nya yang tidak terhingga," katanya.
Pemergian pelakon filem Syaitan Munafik, yang nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, turut menerima ucapan takziah daripada pelbagai pihak dengan ramai yang menitipkan doa serta kata-kata sokongan kepada keluarga yang sedang berduka.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1498304/pengebumian-jenazah-nadia-kesuma-dibuat-esok-pagi-di-jeddah-selepas
|