CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 56|Reply: 0

[Pulau Pinang] RM3 juta bina 6 Taman MADANI di Pulau Pinang - Nga

[Copy link]
Post time 17-1-2026 06:29 PM | Show all posts |Read mode
RM3 juta bina 6 Taman MADANI di Pulau Pinang - Nga

Siti Aminah Mohd Yusof[email protected]





NGA (empat, kiri) pada Majlis Pengiktirafan dan Penyerahan Sijil Alam Sekitar, Sosial, Tadbir Urus (ESG) kepada MBPP yang disempurnakan Chow (lima, kiri) hari ini. FOTO Aminah Yusof.




Georgetown: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi pembinaan enam Taman Madani di Pulau Pinang sebagai menyokong usaha memperluaskan landskap hijau dan meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri itu.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata tiga daripada Taman MADANI itu akan dibina di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan tiga lagi akan diurus Majlis Bandaraya Seberang Perai Selatan (MBSP) yang kesemuanya dijangka siap akhir tahun ini.

"Dalam tempoh 24 bulan sahaja sebanyak 216 taman MADANI sudah siap dan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan selaras dengan Impian 1,000 Taman yang sedang rancak dilaksanakan KPKT.

"Sejak diperkenalkan pada 2024, kita telah berjaya melepasi sasaran 100 taman setiap tahun dengan membina 109 taman pada tahun pertama dengan tambahan 107 lagi taman dibina tahun lalu," katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan dan Penyerahan Sijil Alam Sekitar, Sosial, Tadbir Urus (ESG) kepada MBPP yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata, MBPP yang dinobat sebagai Johan Anugerah PBT Cemerlang (Bandaraya) menerusi Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2025 akan dicalonkan bertanding untuk Dubai Award 2026 yang menawarkan hadiah lumayan sebanyak AS$1 juta.

Sebagai rekod, Pulau Pinang pernah memenangi Anugerah Shanghai 2023 yang merupakan pengiktirafan di bawah inisiatif Global Award for Sustainable Development in Cities yang memberi penekanan kepada pencapaian bandar dalam aspek pembangunan mampan, kesejahteraan sosial dan tadbir urus berkesan.

Terdahulu, Nga berkata MBPP yang juga pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia berjaya menerima pensijilan ESG daripada SIRIM Berhad dengan memperoleh dua pengiktirafan berprestij iaitu SIRIM 55:2023 (Sistem Pengurusan ESG) dan SIRIM 50:2021 (Sistem Pengurusan Akauntabiliti Sosial) wajar dijadikan penanda aras kepada PBT lain di seluruh negara.

Katanya, usaha itu turut menyumbang kepada pengukuhan peranan Malaysia sebagai peneraju Matlamat Pembangunan Mampan pada peringkat antarabangsa yang mana Malaysia melalui KPKT telah dilantik sebagai Pengerusi Perhimpunan UN-Habitat.

"Malaysia telah mencapai 43 peratus daripada keseluruhan 248 petunjuk terkini Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melepasi purata global sebanyak 17 peratus.

"Melalui tindakan yang diambil oleh kerajaan tempatan, langkah demi langkah, kita membawa perubahan kepada Malaysia serta mengharumkan nama negara sebagai teladan kepada negara lain," katanya.



Disiarkan pada: Januari 17, 2026 @ 5:47pm

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/01/1312004/rm3-juta-bina-6-taman-madani-di-pulau-pinang-nga




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-1-2026 10:20 AM GMT+8 , Processed in 0.036000 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list