CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 47|Reply: 0

[Kedah] Dua bulan tanpa air, pesawah di Yan bakal hilang hasil padi seluas 576 hektar

[Copy link]
Post time 15-1-2026 09:41 PM | Show all posts |Read mode
Dua bulan tanpa air, pesawah di Yan bakal hilang hasil padi seluas 576 hektar

Oleh Ahmad Mukhsein Mukhtar - Januari 15, 2026 @ 11:16am





Pesawah daripada PPK Sungai Limau Dalam menunjukkan keadaan sawah mereka yang kering kontang selepas hampir dua bulan tanpa bekalan air susulan cuaca kering berpanjangan. NSTP/Ahmad Mukhsein Mukhtar



YAN: Lebih 150 pesawah daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Limau Dalam mungkin kehilangan lebih 2,000 relong atau kira-kira 576 hektar tanaman padi mereka selepas hampir dua bulan kawasan itu tiada bekalan air susulan cuaca kering berpanjangan.

Mereka mendakwa gangguan itu berpunca daripada saluran pengairan yang rosak akibat kerja projek mitigasi banjir Sungai Pendang yang sedang dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), selain diburukkan lagi oleh cuaca kering berterusan dengan taburan hujan amat rendah sejak akhir November lalu.

Tinjauan mendapati sawah yang hampir matang menunjukkan hasil sangat minimum, dengan banyak kawasan kelihatan seperti padang rumput berbanding tanaman padi.

Saluran pengairan yang sepatutnya menyalurkan air daripada empangan didapati hampir kering sepenuhnya, menyebabkan aliran air ke sawah hampir tiada.

Pesawah, Abdul Rani Mad Isa, 67, yang mengusahakan kira-kira 20 relong sawah, berkata keadaan itu amat melemahkan semangat petani yang melabur besar pada musim ini, namun kini berdepan kerugian hampir keseluruhan.

"Kami mungkin bernasib baik jika dapat menyelamatkan separuh daripada hasil tanaman jika air sampai sekarang.

Padi berada pada peringkat kritikal, kira-kira 60 hari, yang memerlukan bekalan air berterusan untuk matang, tetapi bekalan itu kini terganggu," katanya.

Abdul Rani mendakwa, masalah itu semakin teruk selepas kerja mitigasi banjir bermula, dengan air hampir tidak memasuki sawah mereka sejak itu.

"Pada musim sebelum ini, kami masih boleh bergantung kepada air hujan, tetapi kali ini tiada pilihan lain.

Kami benar-benar memerlukan aliran air yang mencukupi," katanya ketika ditemui semalam.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz, sebelum ini berkata corak cuaca panas dan kering dijangka berterusan di seluruh negeri sekurang-kurangnya sehingga 18 Januari, dengan suhu diramalkan melebihi 35 darjah Celsius.

Seorang lagi pesawah, Badrudin Ismail, 63, menyambut baik campur tangan terkini oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), yang mengerahkan air dipam dengan menyedutnya dari sungai pengairan utama ke kawasan terjejas.

Bagaimanapun, Badrudin yang mengusahakan 30 relong sawah berkata, usaha itu masih tidak mencukupi untuk mengurangkan kesukaran dihadapi.

"Walaupun menggunakan pam, air tetap sedikit kerana aliran utama masih tersekat.

Tambahan pula, jika ada air sekali pun, kami terpaksa membelanjakan kira-kira RM40 sehari untuk bahan api bagi mengendalikan pam dan ia tidak berbaloi dengan kos itu," katanya.

Beliau berkata, walaupun projek mitigasi banjir itu penting, pelaksanaannya perlu disesuaikan sementara waktu bagi memastikan air dapat disalurkan ke sawah.

Rakannya, Salleh Lebai Hassan, 62, mendakwa projek mitigasi banjir itu menjejaskan kawasan berkenaan sejak dua tahun lalu dan hanya dijangka siap pada tahun depan.

"Sebelum projek ini bermula, kami tidak pernah menghadapi masalah ini.

Menunggu setahun lagi tanpa jaminan masalah akan selesai adalah sangat membebankan.

Jadi, pihak berkuasa perlu mencari penyelesaian jangka pendek," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPS Kedah, Ahmad Solihin Budarto, berkata projek mitigasi banjir yang sedang dilaksana membabitkan kerja pelebaran saluran dan tidak menjejaskan aliran air dalam sistem pengairan sawah padi.

Beliau berkata, satu lawatan tapak dijalankan pegawai JPS bersama Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh, pada 7 Januari lalu.

"Dapatan daripada pemeriksaan itu menunjukkan punca utama sawah padi kering disebabkan aliran air daripada empangan berkurangan akibat cuaca kering berpanjangan," katanya.

Solihin berkata, JPS akan membantu kerja melebar dan mendalamkan saluran di Alor Guar, seperti dibincangkan ketika lawatan tapak bersama itu.

"Jika terdapat keperluan untuk mengerahkan pam air, JPS bersedia membantu MADA melakukannya," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1496970/dua-bulan-tanpa-air-pesawah-di-yan-bakal-hilang-hasil-padi-seluas





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-1-2026 09:06 PM GMT+8 , Processed in 0.062311 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list