Kerajaan lulus lebih RM4.3 bilion projek PETRA di Kedah
M Hifzuddin Ikhsan - Januari 15, 2026 @ 2:27pm

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Perasmian Dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Dan Rangkaian Paip Pembetungan di RSTP Alor Setar. - Foto NSTP/ Wan Nabil Nasir
ALOR SETAR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bakal melaksanakan 38 projek bekalan air, pembetungan dan tebatan banjir bernilai lebih RM4.3 bilion di Kedah sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata semua projek yang diluluskan Kerajaan Persekutuan melalui PETRA adalah 31 projek sambungan sedia ada dan tujuh projek baharu di bawah Rolling Plan 1 RMK13.
Beliau yang juga juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, bagi tahun ini sejumlah RM253 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek berkaitan.
"Daripada keseluruhan 38 projek terbabit, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan 21 projek bernilai RM1.9 bilion dengan RM184 juta diperuntukkan bagi tahun ini.
"Jabatan Bekalan Air Kedah pula menyelia 14 projek bernilai RM2 bilion dengan pelaksanaan tahun ini adalah RM59 juta bagi 11 projek dan RM5 juta pembiayaan pinjaman bagi tiga projek lain.
"Tiga lagi projek di bawah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan membabitkan kos RM316 juta dengan RM5.5 juta diperuntukkan pada tahun ini," katanya berucap merasmikan dan penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kota Setar dan Rangkaian Paip Pembetungan (RSTP Kota Setar) di sini, hari ini.
Fadillah berkata, antara projek baharu PETRA untuk Kedah pada 2026 ialah pembinaan projek takungan luar sungai Sungai Karangan, Kulim membabitkan kos RM496 juta dan projek tebatan banjir Sungai Temin–Bata di Kubang Pasu yang dianggar bernilai RM290 juta.
Berikutan itu, beliau berharap kerajaan negeri dan agensi berkaitan di Kedah dapat memberi kerjasama dan memastikan pemantauan rapi bagi menjamin kelancaran pelaksanaan projek.
Mengulas mengenai projek RSTP Kota Setar, Fadillah berkata, operasi loji berkenaan kini diserahkan kepada pihak Indah Water Konsortium (IWK).
Katanya, RSTP Kota Setar yang dibina dengan kos RM238 juta adalah loji rawatan kumbahan terbesar di Kedah dengan kemampuan kapasiti 100,000 populasi.
"Projek ini menyatukan 24 loji rawatan sedia ada serta mengintegrasikan sistem pembetungan di 16 premis kerajaan, menggantikan kemudahan kecil dengan sistem serantau berpusat yang lebih cekap kos bagi kawasan Kota Setar," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1497090/kerajaan-lulus-lebih-rm43-bilion-projek-petra-di-kedah
|