Bukit Kayu Hitam: Sebuah premis pemborong diesel yang diserbu Pasukan Polis Marin, Cawangan Wilayah 1 Langkawi, di Kawasan Perindustrian, di sini kelmarin adalah pemegang lesen borong barang kawalan diesel yang sah.
Perkara itu disahkan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammad Nizam Jamaludin selepas menerima tiga serahan kes dari Pasukan Polis Marin, Cawangan Wilayah 1 Langkawi, semalam.
Beliau berkata, susulan daripada serahan kes berkenaan, KPDN Cawangan Kubang Pasu menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas pemborong minyak diesel berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, pemborong itu didapati menjual barang kawalan iaitu diesel kepada individu yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran untuk membeli minyak diesel.
"Sehubungan itu, KPDN Cawangan Kubang Pasu menyita minyak diesel dianggarkan sebanyak 2,200 liter dengan nilai RM 6,358, tiga buah treler dan dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Nizam berkata, jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM636,659.
Beliau berkata, selain dari itu, tiga lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan yang berusia antara 20- an hingga 60-an ditahan untuk siasatan lanjut.
"Empat kes berkenaan disiasat di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan individu penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya.
"Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
"Bagi kesalahan syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta, " katanya.
Sehubungan itu Muhammad Nizam berkata, KPDN Kedah ingin mengingatkan mana-mana orang yang cuba menyalah gunakan barang kawalan akan diambil tindakan tegas serta amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan dari orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan terutamnaya barang kawalan bersubsidi.
Katanya, KPDN Kedah akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan operasi selaras dengan gerakan massa yang diumumkan kerajaan melalui inisiatif 'Kita Gempur.'
"KPDN Kedah juga mengalu-alukan aduan awam dan menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan orang awam mengemukakan aduan lengkap melalui saluran berikut iaitu WhatsApp 019-848 8000; atau Call Centre 1-800-886-800 serta Laman Sesawang
https://eaduan.kpdn.gov.my; dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.
Media semalam melaporkan, empat lelaki ditahan ketika sedang memindahkan minyak diesel daripada tangki skid ke dalam lori treler dalam satu operasi penguatkuasaan di Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu, kelmarin.
Pemangku Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Pemangku Superintendan Fakharuddin Amri Sanusi, berkata tangkapan dibuat hasil Operasi Taring Landai (Intra Agensi) pada 7.30 pagi.