Tak mematuhi syarat, AKPS tolak kemasukan 9 warga asing ke negara ini
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 15, 2026 @ 10:15am

Pelancong yang keluar dan masuk ke negara ini perlu menjalani pemeriksaan dokumen diri terlebih dulu di Kompleks ICQS. Foto ihsan AKPS
BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menolak kemasukan sembilan warga asing yang cuba memasuki Malaysia melalui pintu masuk di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini semalam.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata penolakan itu membabitkan enam warganegara Bangladesh iaitu seorang lelaki dan lima wanita yang tidak dibenar memasuki Malaysia melalui laluan darat.
"Selain itu, seorang lelaki warganegara Taiwan dan seorang lagi lelaki warga India turut ditolak kemasukan kerana disyaki bukan pelancong tulen serta dipercayai tinggal melebihi tempoh dibenarkan dengan hanya menggunakan Pas Lawatan Sosial.
"Turut ditolak kemasukan ialah seorang wanita Hong Kong kerana mempunyai nama dalam senarai syak jabatan.
"Semua tindakan penolakan kemasukan ini berdasarkan Akta Imigresen 1959/63, " katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasaruddin berkata, semua individu terbabit diarahkan berpatah balik melalui Thailand untuk pulang ke negara asal mereka dan tiada sebarang rampasan dilakukan dalam operasi ini.
"AKPS akan terus komited memastikan pintu masuk negara sentiasa dikawal rapi dan tidak disalahgunakan mana-mana pihak, " katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1496931/tak-mematuhi-syarat-akps-tolak-kemasukan-9-warga-asing-ke-negara-ini
|