
OPERASI: Antara PTI yang diperiksa semasa operasi ini.
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah mempergiat usaha penguatkuasaan apabila 17 Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) ditahan dalam Ops Mahir dan Ops Selera yang dilaksanakan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
Jabatan itu dalam satu perkongsian di laman rasmi Facebook memaklumkan operasi dikendalikan Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kota Kinabalu dengan penglibatan seramai 21 pegawai, menyasarkan premis makanan, perniagaan serta sektor perkhidmatan yang disyaki menggaji warga asing tanpa dokumen sah.
“Sepanjang operasi, enam premis diperiksa membabitkan seramai 37 individu bagi tujuan pengesahan status dan dokumen perjalanan.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 17 PTI membabitkan lima lelaki dewasa dan 12 perempuan dewasa.
“Pecahan mengikut warganegara mendapati seramai 16 individu warga Filipina terdiri daripada lima lelaki dewasa dan 11 perempuan dewasa, manakala seorang lagi wanita dewasa warga Indonesia,” katanya.
Katanya, semua individu ditahan dibawa ke Depot Imigresen Papar bagi proses dokumentasi, siasatan lanjut serta tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
“JIM Negeri Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan dan menyeluruh bagi membanteras kehadiran PTI serta mengekang penyalahgunaan permit kerja.
“Dalam masa sama, majikan dan orang awam diingatkan supaya tidak menggaji, melindungi atau memberi pekerjaan kepada warga asing tanpa dokumen sah kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|