
Sekitar operasi bersepadu di Bau pada, 12 Januari lalu. - Gambar PPM Wilayah 5


KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 menahan enam individu tempatan serta merampas pelbagai barang kawalan dan hasil hutan bernilai kira-kira RM1.4 juta dalam satu operasi bersepadu di Bau pada Isnin.
Komander PPM Wilayah 5 ACP Ab Rahman Mat Hasan berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 3 pagi di sebuah premis yang dipercayai dijadikan gudang. Katanya, operasi adalah hasil maklumat risikan.
“Pemeriksaan membawa kepada penahanan lima lelaki dan seorang wanita.
“Pasukan operasi telah merampas 1,406 ikatan rotan, kira-kira 13,450 liter diesel, lebih 1,200 peket gula kasar, 6,150 peket minyak masak serta 6,157 keping kayu ramu pelbagai jenis dan saiz yang disyaki tidak mempunyai dokumen sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua suspek gagal mengemukakan permit, lesen atau surat kebenaran berkaitan pemilikan barangan berkenaan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.
Manakala semua suspek serta barang rampasan telah diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Bahagian Kuching untuk siasatan lanjut.
Sumber : Utusan Borneo
|