Premier datang ke Sebauh dan melihat bantuan kepada mangsa banjir di Sebauh begitu baik

Abang Johari menyampaikan bantuan banjir berupa kelengkapan sekolah kepada anak-anak mangsa banjir di PPS Dewan Suarah Bintulu hari ini.
BINTULU: Bantuan yang salurkan termasuk petempatan sementara untuk mangsa banjir di Sebauh berkeadaan baik dengan kebanyakan mangsa berpuas hati dengan bantuan yang disalurkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau datang ke Sebauh dan melihat bantuan disalurkan kepada mangsa banjir di Sebauh begitu baik.
"Saya bercakap dengan mangsa, mereka berpuas hati dengan bantuan diberikan serta petempatan (Pusat Pemindahan Sementara) yang disediakan," ujarnya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di PPS Balai Raya Sebauh, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh dan PPS Dewan Suarah Bintulu hari ini.
Beliau berkata, ada juga perkara dibangkitkan mengenai seorang mangsa yang mengalami masalah kesihatan berkaitan penyakit asma telah dibantu pasukan perubatan namun terpaksa dirujuk kepada hospital memandangkan PPS tidak cukup kelengkapan perubatan.
"Seorang lagi mangsa lumpuh turut dibantu oleh Jabatan Kebajikan dan Jabatan Kesihatan supaya pesakit tersebut berada dalam keadaan yang lebih selesa," tambahnya.
Dari segi bantuan makanan katanya, ia mencukupi dan beliau diberi taklimat mengenai mangsa banjir yang diberi makan lima kali sehari dan ini sudah tentu memberi kesan yang baik kepada mangsa.
"Perkara yang telah dilaporkan mengenai kesan kerosakan fizikal jalan raya, kita tidak membaik pulihnya pada ketika ini namun kerja terbabit akan dilakukan pada masa yang sesuai kerana dibimbangi akan berlaku kejadian banjir gelombang kedua dan ketiga pada bulan Februari akan datang," jelasnya.
"Sekiranya kita baik pulih jalan rosak hari ini dan apabila banjir lagi ini akan membawa masalah namun kita akan laksanakan kerja bina semula jalan terbabit selepas musim monsun," tambahnya.
Perkara ketiga pula katanya, mesti ada perancangan jangka panjang (untuk menangani banjir) maka akan ditubuhkan jawatankuasa di peringkat negeri untuk membuat perancangan yang membawa kepada penyelesaian terbaik.
Pada masa sama Abang Johari berkata, penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana yang diketuai Datuk Amar Douglas Uggah Embas, perkhidmatan awam negeri dan persekutuan yang telah bekerja kuat untuk membantu mangsa banjir pada musim monsun ketika ini.
"Persediaan dan perancangan awal mulai September tahun lepas membolehkan kita mengatasi masalah yang timbul dengan berkesan apabila banjir melanda," katanya.
Beliau berkata, tidak dapat menjangka cuaca hari ini, kadang-kadang kita terima laporan daripada Jabatan Meteorologi, masanya mungkin tepat tetapi lokasinya tidak tepat.
Katanya, beliau diberi taklimat bahawa di Bintulu kawasan yang paling terkesan ialah Sebauh, Sungai Kemena dan itu memberi gambaran bahawa hujan turun di bandar Bintulu tetapi lokasinya (banjir buruk) di Sebauh.
"Ada orang kata kita perlu gali sungai, namun pada pendapat saya proses pemendapan kelodak sentiasa berlaku secara semula jadi di persekitaran, jadi alternatif lain biarlah kita bincang dulu.
"Kita tidak mahu buat pengumuman apa-apa kerana ini rancangan jangka panjang, keupayaan kejuruteraan juga kita ambil kira tapi memang kita mempunyai penyelesaian jangka panjang," katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|