
Anggota APM sertai misi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang selepas terjatuh ke sungai Batang Rajang pada malam Selasa. - Gambar APM
SIBU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga asing yang dilaporkan terjatuh ke dalam Batang Rajang di sebuah kawasan industri di sini, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sibu Mejar (PA) Mohd Reduan Aini berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sibu pada jam 9 malam Selasa.
Menurut beliau, kejadian membabitkan seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai terjatuh secara tiba-tiba ke dalam sungai ketika berada di tebing sungai di kawasan berkenaan.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhaji, warga Indonesia dan kali terakhir dilihat memakai baju berlengan panjang biru serta seluar pendek hitam.
Anggota penyelamat diberikan taklimat sebelum operasi SAR dilancarkan hari ini. - Gambar APM
Katanya, maklumat awal mendapati mangsa dikatakan sedang mencuci tangan di tepi sungai sebelum dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam Batang Rajang.
“Susulan kejadian itu, mangsa dilaporkan gagal ditemui dan disahkan hilang, sekali gus membawa kepada pelaksanaan operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Reduan berkata, operasi SAR tersebut dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Pasukan Polis Marin (PPM).
Menurut beliau, seramai 22 anggota daripada empat agensi terlibat dalam operasi hari pertama dengan penggunaan sebuah bot MKN serta peralatan keselamatan lengkap.
Katanya, operasi pencarian dimulakan pada jam 2.15 petang.
Tambah beliau, pencarian dijalankan di permukaan sungai serta kawasan berhampiran lokasi mangsa dipercayai terjatuh bagi mengesan sebarang petunjuk.
“Satu taklimat susulan diadakan pada jam 4.03 petang bagi menilai perkembangan operasi sebelum keputusan dibuat untuk menangguhkan pencarian,” katanya.
Beliau berkata, operasi SAR bagi sesi petang ditangguhkan pada jam 4.34 petang atas faktor keselamatan serta keadaan arus sungai dan akan disambung semula pada keesokan hari.
|