
Pasukan Parlimen Bintulu semasa melakukan tinjauan ke Rumah Saging yang sedang dalam pembinaan di mana air banjir mencecah paras betis semalam.
BINTULU: Sebagai tanda keprihatinan terhadap mangsa musibah banjir di daerah Sebauh khususnya kawasan terjejas teruk di Ulu Sebauh, pasukan Ahli Parlimen Bintulu bertindak turun padang bagi meninjau sendiri situasi banjir yang melanda kawasan berkenaan sejak beberapa hari lepas.
Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing pada masa sama mengarahkan pasukannya yang diketuai Pegawai Tugas-Tugas Khas Steven Kong Kai Seng untuk melawat ke tiga lokasi banjir yang terjejas teruk iaitu Rumah Saging Layang di Sungai Ensaie, Rumah Dato' Raymond Plen di Sungai Gelam dan Rumah Singer di Gelam Ili.
Tiong mengarahkan pasukan khidmatnya meninjau senario sebenar banjir di kawasan terbabit serta mengenal pasti tahap kerosakan yang dialami penduduk.
Sebelum itu, pasukan berkenaan menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi banjir berikutan kebanyakan laluan menuju ke penempatan terjejas ditenggelami air. Oleh yang demikian, pasukan berkenaan menggunakan bot sebagai satu-satunya jalan perhubungan ke kawasan terjejas.
Hasil tinjauan yang dibuat ke Rumah Saging mendapati air banjir masuk ke dalam rumah, sekali gus memaksa penduduk membina pelantar bagi meletakkan barangan peribadi serta keperluan penting lain.
Banjir turut menjejaskan sebuah lagi rumah panjang penduduk Saging yang sedang dalam proses pembinaan di mana paras air banjir mencecah paras betis.
Tinjauan yang dijalankan ke atas Rumah Dato' Raymod dan Rumah Singer di Sungai Gelam mendapati banjir hampir mencecah bahagian anjung rumah panjang namun tidak menjejaskan bahagian bilik kedua-dua rumah panjang berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo
|