
Stok darah Hospital Sibu kini pada paras yang sangat rendah. - Infografik Bank Darah Hospital Sibu
Sibu: Stok darah bagi semua kumpulan darah di Hospital Sibu kini berada pada paras sangat rendah setakat 14 Januari.
Menurut Unit Transfusi Darah Hospital Sibu, bekalan darah bagi kumpulan A+, B+, O+ dan AB+ direkodkan berada pada tahap kritikal.
Ini susulan permintaan yang tinggi melebihi 50 beg darah sehari bagi pelbagai kes termasuk kecemasan, pembedahan serta rawatan pesakit dalam.
Selain itu, Hospital Sibu turut berperanan membekalkan darah kepada beberapa hospital lain di zon tengah Sarawak, termasuk hospital swasta.
Sehubungan itu, orang ramai yang layak dan sihat diseru agar tampil menderma darah bagi memastikan bekalan darah dapat distabilkan dan nyawa pesakit terus diselamatkan.
"Sumbangan darah amat diperlukan ketika ini. Setitis darah daripada penderma membawa harapan besar kepada mereka yang memerlukan," menurut kenyataan rasmi di Facebook.
Orang ramai juga digalakkan mengikuti platform media sosial Hospital Sibu bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan kempen derma darah sepanjang tahun ini.
Sumber : Utusan Borneo
|