AKPS gagalkan cubaan seludup masuk daging babi bernilai RM66,000
Zuliaty Zulkiffli - Januari 15, 2026 @ 7:58am

AKPS menggagalkan cubaan menyeludup karkas babi bernilai RM66,000 dari Thailand semalam. - Foto hiasan NSTP
BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan menyeludup karkas babi bernilai RM66,000 semalam.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata pemeriksaan mendapati, karkas daging babi berkenaan dibawa masuk tanpa dokumen import yang sah.
"Dalam satu operasi, AKPS mengarahkan sebuah kenderaan ke kaunter timbang dan berat kasar direkodkan 4,200 kilogram (kg).
"Selepas pemeriksaan menyeluruh dijalankan, berat bersih kenderaan direkodkan hanya 2,200kg dan perbezaan berat itu menimbulkan syak dan seterusnya membawa kepada penemuan muatan tidak sah yang disahkan sebagai daging babi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rampasan dilakukan berikutan pengimportan daging babi dari Thailand adalah dilarang sepenuhnya susulan ancaman penyakit African Swine Fever (ASF).
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/01/1496869/akps-gagalkan-cubaan-seludup-masuk-daging-babi-bernilai-rm66000
|